Kerajaan Sarawak lulus permohonan lesen penjanaan tenaga solar selama 30 tahun kepada Zecon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan Sarawak lulus permohonan lesen penjanaan tenaga solar selama 30 tahun kepada Zecon

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Kerajaan Sarawak telah meluluskan permohonan lesen elektrik kepada Zecon Bhd untuk penjanaan tenaga solar bagi membekalkan elektrik di bawah Ordinan Elektrik Sarawak di Taman Teknologi Hijau Kota Petra, Kuching.

 

Kumpulan itu berkata, lesen itu adalah bagi tempoh 30 tahun bermula 5 Februari 2025 dengan yuran tahunan sebanyak RM300,000.

 

Katanya, berdasarkan Ordinan itu, pemegang lesen diberikan hak untuk mereka bentuk, membina, memasang, menggunakan, mendalikan dan menyelenggara sistem solar fotovoltaik (PV) bagi menjana tenaga solar di dalam kawasan seluas 1,214 hektar di Lot Salak Tanah, Kuching.

.

"Di bawah lesen itu, ia meliputi penghantaran dan pengagihan elektrik, menara talian dan pencawang kepada pengguna bukan domestik bagi elektrik yang dihasilkan.

 

"Pemasangan loji jana kuasa dengan kapasiti maksimum 300 Megawatt Arus Ulang-alik (MW) termasuk sistem bekalan dengan unit penjanaan modul solar fotovoltaik solar, pencawang termasuk stesen pengubah, kerja-kerja elektrik untuk menjana tenaga solar untuk membekalkan yang sama kepada pengguna bukan domestik dalam Kawasan berjadual," katanya dalam atu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

ARTIKEL BERAKITAN: Zecon bekerjasama dengan SDEC, Centexs bangunkan Taman Teknologi Hijau Kota Petra dikuasakan ladang solar 300MW dengan BESS

 

Sebelum ini, kumpulan itu menjalinkan kerjasama dengan dua entiti kerajaan Sarawak bagi pembangunan KPGTP yang akan menampilkan ladang solar 300MW ditambah dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri terkini (BESS).

 

Dua entiti tersebut ialah Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) dan Pusat bagi Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs).

 

Zecon akan berkhidmat sebagai pemilik tanah, manakala SDEC akan memudahkan pecutan teknologi digital dan perkhidmatan telekomunikasi di taman itu, dan Centexs akan menyediakan pembinaan kapasiti melalui latihan berasaskan industri dan ujian teknologi.

 

KPGTP direka bentuk untuk menjadi hab termaju untuk industri hijau, teknologi termaju dan pembangunan mampan.- DagangNews.com