KUALA LUMPUR 5 Ogos — Kerajaan sedang mengkaji cadangan bagi menggantikan sistem pengeluaran sekali gus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pembayaran seumpama pencen bulanan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memastikan keadaan simpanan persaraan yang lebih mampan untuk rakyat Malaysia.
Bagaimanapun katanya, sistem baharu itu mungkin hanya terpakai kepada ahli baharu KWSP, manakala pencarum sedia ada boleh diberi pilihan untuk beralih kepada struktur disemak secara sukarela.
Tambahnya, idea itu turut bertujuan untuk mengelakkan pencarum daripada kehabisan wang simpanan mereka terlalu cepat, dan sedang diperhalusi serta dipertimbangkan oleh Unit Perancang Ekonomi.
"Idea utamanya ialah untuk membangunkan sistem yang lebih mampan seperti sistem pencen dengan simpanan ahli tidak dikeluarkan sekali gus, tetapi dibayar pula setiap bulan," kata Amir Hamzah.
Beliau menyatakan mengenai perkara itu ketika ditemui pemberita pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2025, di ibu negara hari ini. KWSP yang ditubuhkan sejak 1951 ketika ini mempunyai lebih 15 juta ahli.
Mengulas lanjut, beliau menambah, ramai pencarum KWSP cenderung kehabisan simpanan sejurus selepas bersara, dan sering membawa kepada masalah kewangan pada tahun-tahun akhir hayat mereka.
Sehubungan itu kata beliau, kerajaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan komprehensif dalam menilai segala implikasi secara jangka panjang ke atas pelbagai reformasi yang dicadangkan.
"Pembayaran bulanan itu bagi menggantikan sistem pengeluaran KWSP sekali gus. Jika cadangan itu diterima, pelaksanaannya akan praktikal namun dilaksanakan berperingkat terlebih dahulu," katanya.
Amir Hamzah menambah, objektif kerajaan yang lebih luas adalah untuk membina rangka kerja persaraan berdaya tahan dan inklusif bagi memastikan keselamatan kewangan jangka panjang. - DagangNews.com








