PUTRAJAYA 24 Jun – Kerajaan Persekutuan kekal sebagai pemilik sah ke atas tanah ‘Duta Enclave’ apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd tidak berhak terhadap hak milik tanah berkenaan.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan yang baru dilantik, Datuk Lee Swee Seng sebulat suara menolak rayuan Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah dan bangunan di atasnya.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada syarikat tersebut yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan nilai pasaran pada tahun 1956, disertai faedah tahunan sebanyak 6% sehingga bayaran penuh dibuat.
Pihak-pihak diberi tempoh 90 hari untuk menjalankan penilaian sebelum kembali ke Mahkamah Tinggi. Jumlah pampasan yang akan ditetapkan akan ditolak sebanyak RM1.325 juta – amaun yang telah dibayar oleh kerajaan pada tahun 1956.
Lee yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut memutuskan bahawa prosiding berhubung keuntungan mesne (mesne profit) akan diteruskan di Mahkamah Tinggi dan akan dikira bermula dari tahun 1956 sehingga Semantan Estate menerima pampasan sewajarnya.
Mahkamah juga memerintahkan agar setiap pihak menanggung kos masing-masing, menurut laporan The Edge hari ini.
Cubaan Semantan Estate Miliki Tanah Gagal
Cubaan Semantan Estate untuk memperoleh semula hak milik tanah serta bangunan berkaitan secara sah telah digagalkan oleh seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Government Proceedings Act – GPA), yang melarang mahkamah mengeluarkan perintah pemulangan harta terhadap kerajaan.
Menurut Lee, seksyen berkenaan secara jelas menyekat sebarang perintah pemulangan semula tanah kepada plaintif walaupun kerajaan telah melakukan pengambilan secara salah.
“Kata-kata itu jelas maksudnya. Ia merupakan satu larangan. Ini bagi memastikan pihak berkuasa awam boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya,” katanya.
Beliau menambah, walaupun pampasan perlu dibayar, pengambilan tanah tersebut masih dianggap sah kerana ia dilakukan untuk tujuan awam, antaranya pembinaan stadium dan pejabat kerajaan.
Semantan Layak Terima Pampasan
Mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan – Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Liew Horng Bin – bahawa memberikan kembali tanah dan pada masa sama membayar pampasan akan mewujudkan situasi pampasan berganda.
Namun begitu, perkara ini tidak dianggap mustahil kerana pampasan penuh dan keuntungan mesne akan dinilai oleh mahkamah.
Hakim Lee menegaskan bahawa pampasan perlu dikira berdasarkan nilai pasaran pada tahun 1956, ketika tanah berkenaan digunakan sebagai ladang getah.
“Penilaian ini tidak boleh berlarutan selama-lamanya. Syarikat berhak menerima pampasan yang sepatutnya mengikut Akta Pengambilan Tanah,” ujarnya.
Mahkamah turut menetapkan agar laporan penilaian disediakan dalam tempoh 90 hari bermula 24 Jun dan pengurusan kes untuk penilaian pampasan ditetapkan pada 30 Jun ini.
Hakim Sokong Keputusan – Hak Kepentingan Benefisial Sahaja
Dalam penghakiman sokongannya, Datuk Wan Ahmad Farid menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 oleh Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya tidak pernah mengarahkan tanah dipindah milik kepada Semantan Estate, walaupun mendapati kerajaan telah menceroboh.
Tiada bukti menunjukkan Semantan Estate memohon penjelasan lanjut atau menggunakan hak ‘liberty to apply’ untuk menguatkuasakan perintah itu.
“Syarikat itu hanya diberikan kepentingan benefisial – yang bermaksud mereka boleh menikmati hasil tanah, tetapi tidak memiliki hak milik berdaftar,” jelasnya.
Beliau menambah, keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos 2023 yang mengarahkan tanah dipindah kepada Semantan Estate merupakan satu kesilapan yang boleh dirayu dan memerlukan campur tangan kehakiman.
Keputusan itu juga telah ditangguhkan pelaksanaannya pada 12 September selepas kerajaan mengemukakan rayuan.
Prosiding Mesne Profit Diteruskan
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh akan meneruskan prosiding berkaitan tuntutan keuntungan mesne bulan depan di Kuala Lumpur. Keuntungan mesne merujuk kepada hasil yang diperoleh oleh pihak yang telah menduduki harta secara salah.
Prosiding ini akan menilai jumlah hasil yang sepatutnya diperoleh Semantan Estate sebagai pemilik berkepentingan sejak tahun 1956, dan akan berakhir hanya selepas pampasan penuh dibayar. - DagangNews.com








