KUALA LUMPUR 13 Ogos – Putrajaya menegaskan had keuntungan 7.3 peratus bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikekalkan untuk tempoh tiga tahun di bawah Tempoh Kawal Selia Ke-4 (RP4), kadar yang tidak berubah sejak 2018.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebarang keuntungan melebihi had tersebut akan dipulangkan kepada pengguna melalui Dana Industri Elektrik (KWIE).
“Had keuntungan ini telah dilaksanakan sejak RP2 pada 2018, dan sebarang lebihan akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui KWIE,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan, penetapan had keuntungan itu dibuat berdasarkan keperluan pelaburan TNB, termasuk menaik taraf dan memperkukuh grid nasional bagi menyokong ASEAN Power Grid, membina serta menyelenggara loji janakuasa, memasang meter pintar, mendigitalisasikan sistem tenaga, dan meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu selaras dengan agenda peralihan tenaga negara.
Akmal turut memaklumkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara pemegang saham utama TNB, yang menerima sejumlah RM15.75 bilion dividen dari 2018 hingga 2023.
“Had keuntungan ini bertujuan memastikan TNB kekal stabil sebagai syarikat utiliti yang mampu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna, sambil memberikan pulangan munasabah kepada pemegang saham utamanya termasuk GLIC,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai keuntungan tahunan TNB dan potensi pendapatan tambahan susulan kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial bermula 1 Julai lalu.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi, berhubung cadangan memperkenalkan mekanisme “tarif simpanan” atau “tarif boleh pulang” bagi mengembalikan keuntungan melebihi paras ditetapkan terus kepada pengguna dalam bentuk rebat bil, Akmal menegaskan langkah tersebut telah pun dilaksanakan.
“Sebagai contoh, pengguna yang menggunakan kurang daripada 600 kWh akan menerima insentif kecekapan tenaga mulai sekarang. Selain itu, bagi membantu kumpulan yang menggunakan tenaga secara cekap, kos runcit tidak perlu dibayar,” jelasnya.
Katanya, kerajaan kini sedang mengimbangi semula struktur tarif supaya lebih banyak dana disalurkan kepada pembangunan infrastruktur, berbanding sebelum ini hampir 90 peratus menampung kos tenaga dan hanya 9 peratus untuk infrastruktur.
Beliau menambah, sasaran adalah untuk mengekalkan kos tenaga sekitar 40 hingga 50 peratus, tertakluk kepada pengesahan angka muktamad.
“Secara prinsipnya, perlindungan dan pengembalian manfaat kepada rakyat telah dilaksanakan sejak awal. Bagi tempoh tiga tahun akan datang, pengguna di bawah paras penggunaan yang disebut tidak akan terkesan dengan pelarasan automatik kos bahan api.
“Jika diteliti, 85 peratus pengguna TNB, khususnya domestik, telah pun menikmati pengurangan kadar bagi penggunaan elektrik pada paras sama kerana insentif ini diberikan lebih awal,” katanya. - DagangNews.com








