KUALA LUMPUR 14 Julai — Kerajaan mengesahkan belum ada rancangan bagi melanjutkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke negeri-negeri di Pantai Timur, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, bahawa keadaan tersebut disebabkan laluan kereta api di kawasan berkenaan adalah landasan tunggal selain kekurangan infrastruktur elektrifikasi yang diperlukan untuk operasi ETS.
Pada masa ini katanya, tiga negeri terbabit hanya ada perkhidmatan Unit Berbilang Diesel (DMU) kerana landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bukan daripada jenis landasan yang berkembar.
"Setakat ini, ia masih tidak menggunakan bekalan elektrik, tetapi, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi perkhidmatan tren ekspres kepada wilayah berkenaan,” kata Loke pada sidang akhbar.
Terdahulu, beliau melancarkan bas diesel baharu Rapid, dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat, Datuk Azlan Shah Al Bakri, dan Presiden Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.
ETS dilancarkan KTMB sejak 2020 yang menghubungkan Padang Besar, Perlis dengan Butterworth, Pulau Pinang serta bersambung terus ke Kuala Lumpur dan Gemas, Negeri Sembilan melalui 36 buah stesen.
Set tren enam gerabak digunakan mampu bergerak kelajuan operasi maksimum 140 kilometer sejam dan dapat mengangkut hingga 350 penumpang dalam satu masa bagi perkhidmatan ekspres antara bandar.
Ia dijangka bersambung sehingga ke stesen Johor Bahru Sentral di Johor dengan jarak tambahan 192 kilometer berbanding pada ketika ini keseluruhan panjang aliran kereta api tersebut hanya 755 kilometer.
Mengulas lanjut, Loke menambah, perkhidmatan ETS akan terus tertumpu di wilayah Pantai Barat, yang beroperasi dari Utara Semenanjung Malaysia dan akan datang diperluaskan lagi ke selatan di Johor.
Mengenai KTMB, Loke berkata, pelbagai bentuk penambahbaikan masih diperlukan, terutamanya dalam perkhidmatan Komuter, ETS, dan pengangkutan barang, yang belum mencapai kadar keuntungan penuh.
Beliau namun menegaskan, keuntungan bukanlah fokus utama KTMB sebagai syarikat berkaitan kerajaan, yang ada tanggungjawab sosial untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. - DagangNews.com








