Keputusan kunci harga tempahan pukal solar PV bantu Solarvest lindungi margin projek tertunggak RM1.7 bilion - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan kunci harga tempahan pukal solar PV bantu Solarvest lindungi margin projek tertunggak RM1.7 bilion - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jan - Keputusan Solarvest Holdings mengunci harga tempahan pukal berjaya mengurangkan risiko kos merentasi saluran projeknya, sekali gus mengukuhkan margin keuntungan kumpulan itu, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah proaktif mengurus risiko kos projek meletakkan syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk menangani tekanan kos panel solar.  

 

Katanya, kebimbangan pelabur terhadap tekanan kos panel solar terutamanya berpunca daripada kenaikan mendadak harga perak kebelakangan ini, di mana perak secara sejarah menyumbang sekitar 5% daripada kos modul solar. 

 

Keadaan ini diburukkan lagi dengan rancangan China untuk membatalkan rebat cukai nilai tambah (VAT) eksport (kini 9%) bagi produk fotovoltaik (PV) solar berkuat kuasa April 2026. 

 

Secara keseluruhan, faktor-faktor ini boleh meningkatkan harga modul kepada AS$0.11–0.13/watt (daripada AS$0.09/watt pada 4Q25). 

 

"Bagi mengurangkan risiko tersebut, Solarvest telah mengunci pesanan pukal modul solar sebanyak 2GW dengan pembekal utamanya pada harga purata panel suku keempat tahun kalendar 2025. 

 

"Langkah ini berupaya melindungi kos projek merentasi buku pesanan tertunggak kumpulan yang kini bernilai sekitar RM1.7 bilion," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOTP) RM3.67, disokong oleh pengukuhan tawaran penyelesaian tenaga menyeluruh merangkumi tenaga solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan kecekapan tenaga (EE), selain langkah proaktif syarikat mengurus risiko kos projek.

 

Tambahnya, pelaburan strategik Solarvest dalam Solar District Cooling Group (SDCG) membuka ruang kepada penawaran perkhidmatan tenaga yang lebih komprehensif kepada pelanggan komersial dan perindustrian (C&I), sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam rantaian nilai tenaga boleh diperbaharui.

 

Solarvest kini memiliki 22% kepentingan strategik dalam SDCG yang tersenarai di Pasaran ACE, dengan urus niaga tersebut diselesaikan pada Disember 2025. 

 

Melalui kerjasama itu, Solarvest dijangka dapat mempercepatkan kemasukannya ke dalam segmen kecekapan tenaga dengan memanfaatkan kepakaran SDCG dalam sistem pengurusan bangunan (BMS) serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E).

 

Walaupun sumbangan pendapatan daripada SDCG dijangka sederhana dalam jangka terdekat, sekitar RM1 hingga RM2 juta, prospek pertumbuhan jangka panjang dilihat positif, disokong oleh pelaksanaan dasar berkaitan kecekapan tenaga, termasuk Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA).

 

Maybank IB berkata, pengurusan Solarvest menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) projek EPCC kekal pada 8% hingga 10%, selari dengan unjuran semasa walaupun berdepan ketidaktentuan kos input.

 

Selain itu, pengukuhan nilai ringgit, yang meningkat sekitar 6% tahun ke tahun berbanding Remembi China dan 10% berbanding dolar AS, dijangka dapat mengurangkan sebahagian impak pembatalan rebat VAT tersebut. 

 

Solarvest juga sedang menilai kemungkinan mempercepatkan penghantaran modul sebelum April 2026, walaupun langkah itu berpotensi meningkatkan kos logistik dan penyimpanan. - DagangNews.com