Kenanga Research semak unjuran sektor perdagangan pengedaran naik kepada 5.7%, pertumbuhan lebih kukuh pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research semak unjuran sektor perdagangan pengedaran naik kepada 5.7%, pertumbuhan lebih kukuh pada 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Dis - Unjuran pertumbuhan sektor perdagangan pengedaran bagi tahun 2025 telah disemak naik kepada 5.7% berbanding 5.0% sebelum ini, selepas sektor itu mencatat pertumbuhan 5.5% pada 2024, disokong oleh momentum jualan yang berterusan kukuh, kata Kenanga Research.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan jualan dijangka terus berkembang kepada 6.1% pada 2026, dipacu oleh inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka merangsang aktiviti pelancongan serta perbelanjaan pengguna.

 

Momentum jualan kekal memberangsangkan dengan purata pertumbuhan 5.3% tahun ke tahun (YoY) bagi 10 bulan pertama 2025, melepasi sasaran awal 5.0%. 

 

Prestasi kukuh yang direkodkan pada Oktober turut memberi isyarat permulaan yang positif bagi suku keempat 2025 (4Q25).

 

"Kenanga menjangkakan momentum ini akan berterusan dalam tempoh terdekat, disokong oleh perbelanjaan musim perayaan, peningkatan ketibaan pelancong, serta pelaksanaan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 oleh kerajaan, sekali gus mendorong kepada semakan naik kecil terhadap unjuran 2025," katanya firma itu dalam laporan analisis ekonomi hari ini.

 

Menurut Kenanga, seiring dengan prestasi dagangan pengedaran yang kukuh dan pengeluaran perindustrian Oktober yang mantap, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 4Q25 dijangka meningkat kepada 5.0%, berbanding 5.2% pada 3Q25, dan lebih tinggi daripada unjuran awal 4.0% apabila momentum ekonomi mengukuh menjelang akhir tahun.

 

Secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan KDNK 2025 telah dinaikkan kepada 4.8%, berbanding 4.5% sebelum ini, selepas mencatat 5.1% pada 2024. 

 

Namun begitu, berikutan ketidaktentuan pasaran kewangan serta risiko geopolitik yang masih berlarutan, unjuran pertumbuhan KDNK 2026 dikekalkan pada 4.2% buat masa ini.

 

Dalam pada itu, menurut data terkini, jualan sektor perdagangan pengedaran Malaysia meningkat 7.2% tahun ke tahun (YoY), mengatasi pertumbuhan 6.6% pada September, sekali gus mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi sejak Mac 2023.

 

Dari segi bulanan, jualan meningkat 1.8% bulan ke bulan (MoM) berbanding 0.9% pada September, mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan dan mengatasi purata pertumbuhan bulanan 2025 sebanyak 0.5%. 

 

Nilai jualan keseluruhan turut mencatat rekod tertinggi RM160.9 bilion, berbanding RM158.0 bilion pada bulan sebelumnya, mencerminkan permintaan domestik yang kekal kukuh disokong oleh penggunaan swasta yang mantap.

 

Momentum keseluruhan sektor dipacu oleh prestasi kukuh perdagangan borong dan kenderaan bermotor

 

Perdagangan borong mencatat pertumbuhan 7.3% YoY, paras tertinggi dalam 31 bulan, diterajui oleh jualan mesin, peralatan dan bekalan yang melonjak 10.0%, diikuti perdagangan bukan pengkhususan (9.7%) serta makanan, minuman dan tembakau (9.2%).

 

Sementara itu, pertumbuhan perdagangan runcit sedikit sederhana kepada 6.8% berbanding 7.0% pada September, disebabkan prestasi lebih perlahan kedai bukan pengkhususan. 

 

Namun, kelembapan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jualan maklumat dan peralatan yang berkembang 6.5%, berbanding 4.2% pada bulan sebelumnya.

 

Segmen kenderaan bermotor pula mencatat lonjakan ketara dengan pertumbuhan 8.2% YoY, meningkat daripada 4.3% pada September, didorong terutamanya oleh jualan kenderaan yang melonjak 9.5%. 

 

Prestasi ini sejajar dengan peningkatan jualan unit bulanan kepada 76,000 unit, berbanding 58,500 unit pada bulan sebelumnya. Pemulihan dalam aktiviti penyelenggaraan dan pembaikan turut menyokong prestasi sektor ini. - DagangNews.com