Kenanga Research ramal cukai pegangan ke atas dividen REIT disambung semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research ramal cukai pegangan ke atas dividen REIT disambung semula

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Jan – Kenanga Research menjangkakan cukai pegangan (withholding tax) ke atas dividen daripada real estate investment trusts (REITs), yang tamat pada akhir 2025, dijangka disambung semula dengan terma sedia ada. 


Firma penyelidikan itu berpandangan, jika tidak disambung ia boleh menghalang pertumbuhan jangka panjang industri tersebut.

 

Industri REIT Malaysia katanya, mencatat pendapatan bersih tahunan sekitar RM2.8 bilion, yang mewakili kurang daripada 0.2% daripada anggaran jumlah hasil cukai kerajaan 2026, memberikan kenaikan yang tidak signifikan.

 

“Berdasarkan penilaian kami, kemungkinan lebih condong kepada pembaharuan penuh,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kerajaan masih belum mengumumkan penyambungan kadar cukai pegangan konvensional 10% ke atas dividen REIT, yang telah berkuat kuasa dari 2016 hingga 2025. Konsesi ini juga telah disambung setiap tahun sejak itu.

 

Pelabur masih diwajibkan membayar cukai dividen berasingan sebanyak 2% ke atas pendapatan dividen tahunan yang melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu, menyebabkan pelabur dengan portfolio bersaiz besar membayar 12% cukai tahunan ke atas dividen.

 

“Kami difahamkan Malaysian REIT Association kini sedang berunding dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan sambungan konsesi ini,” kata Kenanga.

 

Sekiranya konsesi itu tamat, dividen yang diterima pelabur akan tertakluk kepada kelas cukai masing-masing, yang secara amnya lebih tinggi daripada 10%, sehingga 24%, kata firma penyelidikan itu, sambil memberi amaran bahawa kesan negatif ke atas penilaian REIT boleh mencecah sehingga 14%.

 

Selain itu, konsesi sedia ada sebahagiannya meniru struktur pengawalseliaan REIT di Singapura.

 

Memandangkan peranan penting REIT dalam rantaian nilai hartanah komersial, dari pembangunan, operasi aset hingga sekuritisasi aset, penghapusan konsesi ini akan mengurangkan daya tarikan REIT Malaysia bagi pelabur tempatan dan asing, kata Kenanga. - DagangNews.com