AS kenakan tarif tambahan ke atas sarung tangan getah China bermula 4 Februari 2025 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AS kenakan tarif tambahan ke atas sarung tangan getah China bermula 4 Februari 2025 - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani arahan eksekutif bagi memperkenalkan tarif tambahan 10% ke atas barangan China, termasuk sarung tangan getah, untuk memerangi fentanyl.
 

“Tarif baharu akan berkuat kuasa pada 4 Februari 2025 dan akan kekal sehingga krisis berkaitan fentanyl diselesaikan,” kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam satu nota kajian.

 

Pada pertengahan September 2024, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), di bawah bekas Pentadbiran Joe Biden, mengumumkan, kadar tarif bagi semua jenis sarung tangan getah perubatan dan pembedahan akan dinaikkan daripada 7.5% sebelumnya kepada 50% dan seterusnya kepada 100% masing-masing berkuat kuasa 1 Januari 2025 dan 1 Januari 2026.

 

HLIB percaya tarif tambahan 10% ke atas sarung tangan getah perubatan dan pembedahan China tidak semestinya mewujudkan satu lagi pusingan kenaikan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk pembuat sarung tangan Malaysia, seperti yang dilihat pada suku empat 2024.

 

Katanya, ini kerana pengedar sarung tangan AS telah pun mewujudkan semula rantaian bekalan mereka di Malaysia, tidak seperti pada pertengahan September 2024 hingga suku keempat 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan mengandaikan semua sarung tangan getah perubatan China dialihkan ke Malaysia, peralihan berkaitan tarif hanya boleh mengakibatkan permintaan sarung tangan tambahan sebanyak 22 hingga 28 bilion keping setiap tahun.

 

Ini hanya menyumbang 7% hingga 9% daripada jumlah bekalan Malaysia pada 2025, yang hanya mewakili 4% kenaikan daripada paras 2024.

 

“Pada pandangan kami, tarif tambahan ke atas sarung tangan perubatan dan pembedahan China tidak semestinya membantu pemain Malaysia menguasai bahagian pasaran global daripada pemain China,” katanya.

 

HLIB percaya, pemain China sebaliknya akan mengalihkan tumpuan mereka ke Eropah dan Asia daripada pasaran AS. Ia hanyalah perubahan dalam profil pelanggan antara pemain Malaysia dan China.

 

Bagaimanapun, apabila perdagangan dialihkan ke Malaysia, mereka percaya pengedar sarung tangan getah perubatan AS berkemungkinan akan mengutamakan syarikat terkemuka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat perhubungan perniagaan yang telah terjalin, dengan rekod prestasi yang terbukti dan ia mungkin mengambil sekurang-kurangnya tiga bulan prosedur kelayakan untuk perhubungan perniagaan baharu.

 

HLIB melihat Hartalega dan Kossan sebagai penerima manfaat yang jelas, memandangkan status mereka dan pendedahan yang lebih tinggi kepada pelanggan AS.

 

Selain itu, Hartalega dan Kossan tidak pernah diberikan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) oleh CBP AS sebelum ini.

 

Bagaimanapun, mereka telah mengambil kira jangkaan ini ke dalam ramalan pendapatan Hartalega dan Kossan.

 

"Kami mengekalkan pandangan neutral kami terhadap sektor itu dan mengesahkan semula ramalan pendapatan kami untuk Hartalega dan Kossan, berikutan penilaian kami bahawa tarif tambahan 10% ke atas barangan China akan mempunyai kesan terhad," katanya. - DagangNews.com