Kenaikan ketara harga aluminium berpotensi sokong syarikat sektor bahan binaan asas, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan ketara harga aluminium berpotensi sokong syarikat sektor bahan binaan asas, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Jun — Kenaikan mendadak harga aluminium global berikutan defisit bekalan semakin ketara dijangka memacu prestasi syarikat dalam sektor bahan binaan asas, menurut RHB Research.

 

Tambah firma penyelidikan tersebut, perkembangan positif berkenaan sekali gus terus menjadi pemangkin utama kepada prospek pertumbuhan pendapatan industri itu bagi tempoh yang akan datang.


Justeru, ia masih lagi mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor tersebut dengan Press Metal Aluminium Holdings Berhad (PMAH) dilihat kekal sebagai pilihan utama diberikan perhatian.


"Kumpulan berkenaan disokong harga aluminium yang berada pada paras tinggi serta potensi manfaat besar daripada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS)," kata RHB Research dalam nota analisis.


Ujarnya lagi, harga aluminium yang didagangkan di Bursa Logam London (LME) kini mencatat purata AS$3,647 (RM14,827) satu tan bagi tempoh suku semasa, meningkat 14% berbanding suku pertama 2026.


Jelasnya, keadaan itu menyokong jangkaan suku kewangan yang berpotensi mencatat prestasi terbaik bagi pengeluar aluminium walaupun kos alumina, karbon anod dan logistik menunjukkan peningkatan.


RHB Research menambah, defisit struktur stok aluminium dijangka berterusan dan mewujudkan ‘normal baharu’ dengan harganya melebihi AS$3,000 (RM12,193) satu tan untuk tempoh yang lebih panjang.


 

pembinaan_DagangNews

 

Kenaikan Dolar AS Tingkatkan Keuntungan

"Kami turut melihat ada kenaikan kepada pendapatan PMAH jika dolar AS terus mengukuh berbanding ringgit memandangkan lebih 90% jualan kumpulan tersebut untuk pasaran eksport," katanya.


Berdasarkan anggarannya, setiap kenaikan 2% nilai dolar AS berpotensi meningkatkan keuntungan syarikat sekitar 5%, dengan andaian tiada sebarang aktiviti lindung nilai dilakukan syarikat itu.


Pada masa sama, RHB Research berpandangan kitaran pembinaan semula selepas konflik di rantau Timur Tengah berakhir turut boleh menjadi pemangkin tambahan kepada permintaan tinggi aluminium global.


Keadaan ini ujar firma itu, susulan Arab Saudi mengumumkan projek baharu bernilai AS$16 bilion (RM65 bilion) pada April 2026, melibatkan sektor pengangkutan, pembangunan bandar dan industri.


"Bagi sektor simen pula, kami masih lagi kekal positif terhadap potensi Malayan Cement Berhad (LMC) berikutan peningkatan kecekapan operasi dengan margin keuntungan yang terus kukuh," jelasnya.


Bagaimanapun, RHB Research memberi amaran tekanan kos arang batu dijangka dirasai ketara bermula tahun kewangan 2027 selepas syarikat memperoleh inventori baharu pada harga AS$90 (RM366) satu tan.


Ia 38% lebih tinggi berbanding paras pada suku ketiga tahun kewangan 2026, dan setiap kenaikan AS$10 (RM40) satu tan harga arang batu boleh mengurangkan keuntungan tahunan LMC sebanyak 5%.


Sehubungan itu, PMAH kekal sebagai pilihan utama sektor berikutan prospek aluminium, manakala LMC masih menarik dari sudut penilaian meskipun berdepan risiko kos bahan api. - DagangNews.com