KUALA LUMPUR 30 Mac - Peningkatan harga bahan api global susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah dijangka memberi kesan berbeza kepada syarikat utiliti dan berkaitan tenaga di Malaysia, menurut TA Research.
TA Research dalam analisis Sektor Tenaga dan Utiliti: Implikasi Perang AS-Iran hari ini menegaskan, turun naik harga arang batu mempunyai implikasi yang lebih langsung terhadap tarif elektrik berbanding gas, memandangkan sistem bekalan elektrik Malaysia masih bergantung tinggi kepada arang batu.
Pada 2025, arang batu menyumbang sebanyak 59% kepada campuran penjanaan elektrik negara, diikuti gas sebanyak 34%.
Berdasarkan mekanisme pemindahan kos bahan api dalam industri bekalan elektrik, firma itu menganggarkan bahawa setiap kenaikan 10% dalam kos gas akan meningkatkan tarif elektrik sebanyak kira-kira 3%.
Sebaliknya, setiap kenaikan 10% dalam harga arang batu akan meningkatkan tarif sekitar 4%, manakala kenaikan 10% dalam keseluruhan harga bahan api fosil boleh mendorong tarif meningkat sehingga 7%.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat penjana tenaga dan pemain tenaga boleh baharu (RE) berpotensi mendapat manfaat daripada persekitaran harga yang lebih kukuh, manakala utiliti berlesen kekal stabil.
Namun, Ranhill Holdings Bhd dijangka berdepan tekanan kos akibat kenaikan tarif elektrik, manakala syarikat yang diunjur menerima impak positif ialah Malakof, YTL Power, Pemain EPCC Solar.
Malakoff Corp Bhd
Malakof berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan margin bahan api di loji janakuasa arang batunya, iaitu Tanjung Bin Energy dan Tanjung Bin Power, susulan kenaikan harga arang batu.
Namun, kesan positif itu mungkin terhad berikutan paras inventori arang batu yang lebih rendah selepas insiden keruntuhan pemunggah arang batu pada Disember 2025, yang menjejaskan proses pengisian semula inventori pada Januari hingga Februari 2026.
YTL Power International Bhd
YTL Power dijangka memperoleh manfaat daripada kenaikan harga pasaran (spot) elektrik, dengan kira-kira 10% volum Seraya terdedah kepada pasaran tersebut.
Bagaimanapun, kenaikan ini dijangka dihadkan oleh mekanisme Temporary Price Cap (TPC) di Singapura yang diperkenalkan pada 2023 bagi mengawal turun naik harga yang melampau.
Selain itu, pelarasan semula kontrak runcit berpotensi menyokong pendapatan, walaupun sebahagiannya mungkin diimbangi oleh tekanan kos dalam bahagian air, khususnya di Wessex Water.
Pemain EPCC Solar (Segmen Kediaman dan Komersial & Industri)
Kenaikan kos elektrik grid dijangka meningkatkan daya tarikan tenaga boleh baharu, khususnya sistem solar bumbung.
Ini berpotensi merangsang penggunaan yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna kediaman serta sektor komersial dan industri (C&I) di bawah program seperti Solar ATAP, SELCO dan CREAM bagi menguruskan peningkatan kos elektrik.
Dua syarikat yang diunjur neutral oleh firma TA Research ialah Tenaga Nasional Berhad, Petronas Gas
Tenaga Nasional Bhd
Kesan terhadap Tenaga dijangka neutral kerana kenaikan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan dipindahkan kepada pengguna melalui mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) setiap bulan.
Mekanisme ini membolehkan pelarasan sehingga 10% tanpa memerlukan kelulusan menteri.
Namun, bahagian penjanaan (Genco) berpotensi memperoleh manfaat daripada margin bahan api yang lebih baik susulan kenaikan harga arang batu.
Petronas Gas Bhd
Petronas Gas juga dijangka kekal neutral kerana kos gas yang lebih tinggi dipindahkan di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dan Perjanjian Pemprosesan Gas (GPA).
Ini melibatkan segmen utama seperti pemprosesan gas, pengangkutan dan regasifikasi.
Bagaimanapun, margin bagi segmen utiliti yang menyumbang kira-kira 12% kepada keuntungan kasar kumpulan mungkin terjejas akibat kenaikan kos gas.
Satu-satunya syarikat yang dikhuatiri mendapat kesan negatif oleh analisis TA Research ialah Ranhill Holdings.
Ranhill Utilities Bhd
Ranhill dijangka terjejas secara negatif kerana kos elektrik merupakan antara komponen utama kos operasi, khususnya bagi operator airnya, Ranhill SAJ (pegangan 80%).
Kos elektrik menyumbang kira-kira 10% daripada jumlah kos operasi, dan sebarang kenaikan tarif akan memberi kesan langsung kepada perbelanjaan syarikat.
TA Research menganggarkan setiap kenaikan 1% dalam tarif elektrik berkesan boleh mengurangkan pendapatan kumpulan kira-kira 0.6% setahun.
Namun, impak sebenar bergantung kepada tempoh harga bahan api kekal tinggi.
Prospek Kapasiti dan Risiko Lebih Luas
TA Research menjelaskan bahawa analisis ini merujuk kepada kesan langsung daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, kesan tidak langsung seperti tekanan inflasi berpanjangan dan kemungkinan gangguan bekalan bahan api boleh memberi impak makro yang lebih meluas kepada pelbagai sektor ekonomi.
Dalam pada itu, pembangunan kapasiti penjanaan tenaga di Malaysia kekal diteruskan.
Susulan kejayaan tender NewGen25 yang menganugerahkan kapasiti sebanyak 6.3GW, Suruhanjaya Tenaga telah melancarkan tender baharu, NewGen26, yang memberi tumpuan kepada kapasiti penjanaan berasaskan gas untuk tempoh siap antara 2029 hingga 2031. - DagangNews.com








