KUALA LUMPUR 4 Feb - Permintaan kereta diramal kekal stabil pada tahun ini disokong oleh kenaikan gaji penjawat awam dan peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, kata BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran jumlah volum industri (TIV) pada 810,000 bagi 2025.
Katanya, unjuran tersebut berdasarkan trend terdahulu di mana TIV meningkat susulan kenaikan gaji kakitangan awam (kanikan 7% YoY pada 2008, 5% YoY pada 2012).
"Trend sebelum ini menunjukkan kenaikan gaji mendorong pengguna membeli kenderaan baharu dan seterusnya meningkatkan permintaan.
"Pelarasan gaji dijangka memacu trend serupa yang akan mengekalkan permintaan kenderaan pada 2025 dan melanjutkan pertumbuhan ke 2026.
"Selain itu, gaji minimum lebih tinggi yang berkuat kuasa bulan ini sepatutnya menyokong lagi pembelian kenderaan, terutamanya dalam kalangan kumpulan gaji B40 (40%) dan M40 (40%)," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" ke atas sector automotif dan menetapkan saranan "beli terhadap Sime Darby Bhd dengan harga sasaran (TP) RM2.60 sesaham.
BIMB Securities juga mengekalkan saranan "pegang" ke atas MBM Resources Bhd dengan TP RM5.50 and Bermaz Auto Bhd, TP RM1.46.
Firma tersebut berkata, risiko kelemahan utama kepada penarafan sector tersebut termasuk gangguan rantaian bekalan global seperti kekurangan semikonduktor dan kelewatan pengeluaran, yang boleh mengehadkan ketersediaan dan jualan kenderaan.
"Di samping itu, peningkatan kos penggunaan akan mengurangkan kemampuan untuk kumpulan berpendapatan rendah, melembapkan permintaan untuk kenderaan.
"TIV untuk 2024 meningkat 2.1% tahun ke tahun (YoY) kepada 816,747 unit berbanding 799,821 unit pada 2023, mencatat rekod baharu sepanjang masa, disokong oleh permintaan mampan sepanjang tahun.
Pada 2024, jualan kereta untuk jenama nasional meningkat 5.1% YoY kepada 505,689 unit berbanding 481,350 unit pada 2023, disokong oleh jualan yang lebih kukuh daripada model utama.
Perodua mencatatkan rekod jualan tertinggi sebanyak 358,102 unit berbanding 330,375 unit pada 2023, terutamanya didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk Bezza, Axia dan Myvi.
Kilang pembuatan Perodua mempunyai gabungan kapasiti tahunan sebanyak 320,000 unit pada kitaran dua anjakan, menyerlahkan keupayaan pengeluarannya yang kukuh.
Jualan Proton susut sebanyak 2.2% kepada 147,587 unit berbanding 150,975 unit pada 2023, menunjukkan permintaan lemah sedikit berbanding tahun lepas.- DagangNews.com








