Kenaikan 80% harga resin berpeluang tingkatkan keuntungan sektor pembungkusan pada 2026, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan 80% harga resin berpeluang tingkatkan keuntungan sektor pembungkusan pada 2026, kata Kenanga

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Julai – Selepas berdepan persaingan sengit dan lebihan kapasiti sejak dua tahun lalu, sektor pembungkusan plastik dijangka kembali mencatat pertumbuhan keuntungan besar pada 2026.

 

Menurut analisis Kenanga Research, perkembangan positif itu dipacu oleh kenaikan 80% harga resin, peningkatan tempahan pelanggan serta kemasukan pembekal baharu yang menjadi pemangkin utama.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun industri tersebut ada cabaran tertentu, model perniagaan membolehkan pengeluarnya memindahkan pula kenaikan kos bahan mentah kepada pelanggan.

 

"Lonjakan harga resin sepanjang suku kedua 2026 susulan kenaikan harga minyak mentah akibat konflik di Timur Tengah, namun dilihat stabil secara beransur-ansur sejak penghujung Mei 2026," katanya.

 

Kenanga Research berkata, berdasarkan rekod prestasi lalu, pengeluar pembungkusan plastik lazimnya menikmati keuntungan tinggi lebih 40% ketika harga resin meningkat berbanding tempoh harga rendah.

 

Ia menjangkakan harga minyak mentah menyederhana kepada AS$74 (RM302) setong dan berpandangan tidak mungkin kembali ke paras sebelum konflik walaupun ketegangan di Timur Tengah sudah semakin reda.

 

sektor pembungkusan plastik_DagangNews2026

 

Katanya, gangguan stok minyak dan resin global turut mencetuskan aktiviti penyimpanan dalam kalangan pelanggan sejak Mac 2026, menyebabkan tempahan naik dan membuka peluang pembekal baharu.

 

"Kebanyakan pengeluar tempatan kini memiliki inventori yang mampu menampung pengeluaran selama tiga bulan, membolehkan mereka menjual produk pada harga pasaran semasa yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Jumlah tempahan ujar Kenanga Research, kekal tinggi dalam dua suku akan datang berikutan pelanggan terus meningkatkan inventori, manakala syarikat di bawah liputannya tiada gangguan bekalan ketara.

 

Bagi 2026, pemulihan sektor dijangka dipacu antaranya oleh peningkatan harga jualan purata susulan harga resin yang lebih tinggi, dan pertambahan tempahan akibat kekurangan bekalan global.

 

Bagaimanapun, ia mengingatkan industri masih berdepan beberapa risiko termasuk lebihan kapasiti pengeluaran, persaingan harga semakin sengit serta lambakan produk murah dari China di pasaran.

 

"Justeru, Kenanga Research mengekalkan penarafan 'outperform' terhadap Thong Guan Industries Berhad sebagai pilihan kerana pertumbuhan kukuh segmen pembungkusan makanan dan minuman (F&B)," katanya.

 

Penarafan sama turut diberi kepada BP Plastics Holding Bhd dan SLP Resources Bhd, manakala Scientex Bhd diturunkan kepada 'prestasi pasaran' selepas kenaikan harga saham ketara. - DagangNews.com