Kempen boikot semakin reda diramal bantu Nestle pulih pada 2HFY25, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kempen boikot semakin reda diramal bantu Nestle pulih pada 2HFY25, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Nestle Malaysia Berhad diramal mampu merekodkan pemulihan hasil pada separuh kedua 2025 berikutan kempen boikot ke atas produknya semakin reda, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, sejak 2023 kumpulan itu mencatatkan penurunan jualan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia berikutan pemulauan besar-besaran terhadap semua barangannya.

 

Bagaimanapun tambahnya, trend gerakan antarabangsa berkenaan dilihat semakin kurang selain dibantu asas kos input yang tidak lagi dilaporkan meningkat berbanding situasi berlaku pada tahun lalu.

 

 

 

 

 

 

"Hasil tinjauan di lapangan, kami menjangkakan momentum positif akan kekal stabil pada tempoh 2HFY25 dan disokong oleh permintaan pengguna yang berdaya tahan," kata MBSB dalam nota kajiannya.

 

Semalam, Nestle Malaysia mengumumkan peningkatan 20 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM112.1 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2025 dengan dipacu oleh faktor jualan lebih tinggi.

 

Perolehan bagi tiga bulan itu juga meningkat 9.5 peratus kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.52 bilion sebelumnya, didorong permintaan stabil dalam negeri dan prestasi eksport berdaya tahan.

 

Mengulas lanjut, MBSB Research berkata, kumpulan pengeluar produk makanan dan minuman pengguna itu juga disokong imej jenamanya yang kukuh di samping inovasi berterusan ke atas produk sedia ada.

 

"Pembetulan harga kopi baru-baru ini dan nilai ringgit yang lebih kukuh di pasaran pertukaran mata wang global mungkin mengurangkan tekanan kos, walaupun harga koko masih kekal tinggi," tambahnya.

 

Walaupun usaha pelaburan jenama mungkin mengehadkan pengembangan margin jangka pendek, ia katanya, adalah penting bagi memulihkan kesetiaan pengguna dan mengekalkan daya saing jangka panjang.

 

Hasilnya kata firma itu, Nestlé mencatatkan peningkatan 4.0% tahun ke tahun dalam pendapatan pada separuh pertama 2025 kepada RM3.44 bilion, disokong permintaan tinggi yang didorong oleh perayaan.

 

Jualan domestik mencatatkan pertumbuhan positif, dipacu kekuatan jenama yang mampan, pelaksanaan harga secara berkesan yang kukuh semasa Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri pada 1QFY25.

 

"Kami namun sentiasa berhati-hati tetapi mengakui kekuatan struktur dan potensi pemulihan termasuk jualan eksport produk halalnya yang turut menaikkan reputasi Nestle Malaysia," katanya lagi.

 

Berdasarkan perkembangan positif tersebut, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran diramal masih juga tidak berubah kepada RM77.90 sesaham. - DagangNews.com