KUALA LUMPUR 9 Okt – Pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa radioaktif syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) telah mencapai 72% siap setakat ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata, kemajuan pembinaan PDF di Gebeng, Pahang itu sedikit terkebelakang berbanding sasaran asal 82%, namun masih berada pada tahap yang memuaskan secara keseluruhan.
“PDF dibina secara berperingkat, dan setakat ini empat sel iaitu Sel A, B, C, dan D telah siap dibina. Proses pengisian sisa water leach purification (WLP) ke dalam sel-sel ini sedang dijalankan,” jelasnya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berkaitan strategi pengurusan sisa radioaktif Lynas dan keperluan kajian Health Impact Assessment (HIA), Lih Kang menjelaskan kajian HIA belum perlu dilaksanakan pada peringkat ini kerana tiada peningkatan kes kesihatan dilaporkan di sekitar kawasan operasi Lynas.
“HIA hanya akan dilaksanakan jika perlu, dan setakat ini tiada maklum balas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukkan keperluan untuk menjalankan kajian tersebut,” katanya.
Mengulas pematuhan kepada piawaian antarabangsa, Lih Kang memaklumkan Lynas tertakluk kepada pelaksanaan Pelan Pengurusan Sisa Radioaktif yang telah diluluskan oleh Jabatan Tenaga Atom (JTA), meliputi pematuhan undang-undang, pemantauan dan langkah mitigasi risiko.
“JTA turut menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan operasi Lynas mematuhi Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta syarat-syarat lesen yang ditetapkan,” katanya.
Hasil pemantauan menunjukkan tiada peningkatan paras radiasi, dan data pendedahan radiasi menunjukkan paras pendedahan tidak melebihi 1 millisievert setahun bagi orang awam dan 20 millisievert setahun bagi pekerja, sejajar dengan had yang ditetapkan.
Menjawab soalan tambahan daripada Dr Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) mengenai rancangan jangka panjang kerajaan dalam pengurusan sisa radioaktif, Chang memaklumkan bahawa sisa radioaktif daripada sektor lain seperti perubatan dan penyelidikan juga dikendalikan di bawah seliaan Agensi Nuklear Malaysia mengikut standard ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Malaysia kini mempunyai dua kemudahan pelupusan kekal, iaitu Lahat, Perak – berkapasiti dan Gebeng, Pahang – berkapasiti 1.6 juta tan metrik.
“Dengan penubuhan Tabung SES (Special Fund) untuk mengurus sisa radioaktif, kita berharap pengurusan sisa radioaktif dapat dijalankan dengan lebih efektif dan sistematik,” ujar beliau. - BERNAMA








