Kelington peroleh projek sambungan semikonduktor bernilai RM244 juta di Jerman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelington peroleh projek sambungan semikonduktor bernilai RM244 juta di Jerman

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Ogos — Kumpulan Kelington Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya Kelington Engineering Germany GmbH (KEGG), memperoleh projek sambungan semikonduktor di Dresden, Jerman.

 

Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu itu berkata, kejayaan tersebut menandakan kemasukan utama syarikat berkenaan ke pasaran Eropah dengan potensi kontrak bernilai 50 juta euro (RM244 juta).

 

Tambahnya, surat hasrat diterimanya mewujudkan rangka kerja untuk perbincangan terperinci mengenai KEGG menyediakan perkhidmatan sambungan sistem proses utama yang melibatkan pelbagai bentuk.

 

"Ini termasuk gas khusus, bahan kimia, gas pukal, vakum proses dan air ultra-tulen dengan struktur harga unit dan klausa pelarasan harga yang dipersetujui, sehingga 2027," katanya dalam kenyataan.

 

Kelington menambah, kontrak itu meletakkan KEGG menjalankan kerja susulan apabila loji fabrikasi wafer semikonduktor berkembang, tanpa memerlukan rundingan semula syarat penentuan harga teras.

 

Berdasarkan anggaran skop untuk fasa pertama, jumlah nilai kontrak dianggarkan sekurang-kurangnya 30 juta euro (kira-kira RM146 juta), dengan potensi meningkat kepada 50 juta euro (RM244 juta).

 

Ia bagaimanapun tertakluk kepada konfigurasi akhir yang akan ditentukan oleh pelanggan, manakala projek itu dimulakan serta-merta dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

"Nilai keseluruhan kepada Kelington mungkin melebihi jumlah awal kerana projek itu kebiasaannya menjalani peningkatan kapasiti berterusan yang menjangkau beberapa dekad," kata kumpulan tersebut.

 

Kelington
RAYMOND GAN

 

Katanya, sebagai kontraktor sambungan dilantik untuk pengguna akhir ini, Kelington pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat permintaan berulang dengan nilai kontrak dijangka berkembang.

 

Setakat 31 Mac 2025, buku tempahan tertunggak Kelington kekal kukuh kepada RM1.43 bilion, disokong oleh saluran paip buku tender yang teguh dengan jumlah keseluruhan RM4.0 bilion pada 30 April 2025.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group, Ir Raymond Gan berkata, pencapaian kali ini mewakili langkah penting dalam pengembangan syarikat berkenaan ke pasaran Eropah bermula di Jerman.

 

"Ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia kejuruteraan global yang dipercayai dan pengguna akhir ialah pelanggan lama yang telah kami sokong dalam pelbagai projek di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com