Kelewatan rancangan pengembangan pasaran, hasil DXN berisiko susut pada 2QFY26 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelewatan rancangan pengembangan pasaran, hasil DXN berisiko susut pada 2QFY26 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Julai — DXN Holdings Berhad dikhuatiri merekodkan kemerosotan hasil pada suku kedua tahun kewangan 2026 disebabkan kelewatan rancangan pengembangan pasaran, kata RHB Research.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, situasi itu dapat dilihat selepas keputusan kewangannya pada tempoh 1QFY26 mencatatkan penyusutan 14 peratus dengan keuntungan bersih hanya sebanyak RM74 juta.

 

Tambahnya, usaha perluasan pasaran baharu amat wajar berikutan beberapa negara yang ditembusi kumpulan itu menyaksikan ketidaktentuan disebabkan perubahan peraturan yang tidak menguntungkan.

 

"Antaranya ialah pasaran utama DXN di Bolivia apabila krisis mata wang secara berterusan yang tidak menggalakkan telah mempengaruhi prestasi pada suku itu," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagaimanapun firma itu terus menggemari kumpulan itu kerana penilaiannya yang menarik memandangkan model perniagaan berkesan untuk menembusi pasaran baharu dan memupuk pertumbuhan secara mampan.

 

Ini katanya, termasuk rancangan pengembangan pasaran di Brazil sebagai pemacu pertumbuhan jangka sederhana, dan penjanaan aliran tunai yang sihat untuk memudahkan pembayaran dividen lebih banyak.

 

Pertumbuhan pendapatan DXN tambah RHB Research, akan disokong oleh momentum pertumbuhan berterusan pasaran utama selain strategi teras merekrut ahli baharu dan meningkatkan produktiviti.

 

"Kumpulan ini juga dijangka terus aktif dengan pelancaran pelbagai produk baharu yang berkualiti untuk menarik pelanggan baharu selain mengekalkan tahap kesetiaan pelanggan sedia ada," katanya.

 

Sementara itu, pengembangan kapasiti baru-baru ini sepatutnya membantu menampung permintaan yang semakin meningkat dan melancarkan kategori produk baharu untuk meluaskan pasaran boleh ditangani.

 

RHB Research menambah, peningkatan kecekapan yang berbangkit bersama-sama dengan pelarasan harga tahunan akan mengekalkan margin yang tinggi sebanyak 80%, walaupun kos input dan operasi meningkat.

 

Di samping itu, firma berkenaan menantikan keputusan kewangan hasil daripada kemasukan DXN ke Brazil baru-baru ini, selain memanfaatkan rangkaian yang sedia ada di pasaran rantau Amerika Latin.

 

"Kami menjangkakan potensi sumbangan pendapatan yang lebih ketara kepada kumpulan daripada usaha niaga terbaharu ini dalam tempoh antara tiga hingga empat tahun akan datang," tambahnya.

 

Berdasarkan perkembangan positif itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas DXN namun menyemak semula harga sasaran sesaham kepada 80 sen daripada 88 sen. - DagangNews.com