Kelewatan buka cawangan baharu berisiko jejaskan pertumbuhan Eco-Shop, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelewatan buka cawangan baharu berisiko jejaskan pertumbuhan Eco-Shop, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Potensi pertumbuhan Eco-Shop Marketing Berhad selepas penyenaraian, diramal berisiko terjejas jika berlaku kelewatan pembukaan cawangan baharu, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan peruncit produk isi rumah mampu milik itu perlu aktif dalam menambah cawangan selaras sasaran ditetapkannya sendiri iaitu 70 kedai baharu setiap tahun.

 

Tambahnya, syarikat itu perlu membuktikan komitmen bagi memenuhi harapan tinggi pelaburnya setelah menjadi tumpuan ramai pihak apabila disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia pada 23 Mei 2025.

 

"Eco-Shop wajar memberi tumpuan serius kepada rancangan pengembangan cawangan kerana jika misi itu gagal dicapai, ia boleh memberi tanggapan kurang positif," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Diasaskan pada 2003, kumpulan tersebut mengendalikan sejumlah 349 cawangan di seluruh Malaysia setakat Mac 2025, menawarkan barangan harian seperti snek, perkakas dapur dan keperluan rumah.

 

Jenama ini dikenali dengan model harga tetapnya, iaitu RM2.60 di Semenanjung Malaysia serta RM2.80 di Sabah dan Sarawak yang sering mendapat sambutan dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah.

 

Mengulas lanjut, RHB Research berkata, Eco-Shop juga dikenal pasti terdedah kepada kelemahan isu turun naik mata wang asing memandangkan sebahagian besar daripada produk jualannya diimport.

 

"Bagaimanapun, situasi ini masih lagi terkawal disebabkan kekukuhan nilai ringgit dalam masa yang terdekat membolehkan kumpulan itu memperoleh barangannya secara pukal dengan harga lebih rendah.

 

Di samping itu, firma berkenaan turut memberi amaran risiko kenaikan mendadak dalam kos input jika berlaku pada masa depan dan perlu bersedia agar tidak memindahkan beban kepada pengguna akhir.

 

Secara keseluruhan, RHB Research meramalkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) selama tiga tahun sebanyak 18 peratus disokong oleh pengembangan kedai, dan skala ekonomi semakin meningkat.

 

Berdasarkan perkembangan semasa dan potensi pertumbuhan industri runcit tempatan, firma penyelidikan berkenaan meletakkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.51 sesaham. - DagangNews.com