KUALA LUMPUR 22 April - Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah meluluskan mahupun menerima sebarang permohonan berkaitan cadangan projek tenaga solar dan pembangunan ekopelancongan bernilai RM5.5 bilion di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, kerajaan negeri berkata maklumat yang telah disiarkan berhubung projek tersebut adalah tidak tepat dan tidak melibatkan Kelantan.
“Berdasarkan semakan oleh Unit Perancang Ekonomi/Unit Pelaburan Negeri, tiada sebarang kelulusan daripada kerajaan negeri dan juga tiada permohonan dikemukakan oleh syarikat terbabit kepada kerajaan negeri Kelantan berkaitan tajuk berita yang dimaksudkan,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan negeri berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan mengenai sebuah syarikat yang didakwa mengumumkan rancangan pada 7 April untuk membangunkan projek bernilai RM5.5 bilion di utara Kelantan.
Syarikat berkenaan, Helios Photovoltaic Sdn Bhd dilaporkan mencadangkan pembangunan taman solar bersama projek pemuliharaan safari hidupan liar dan resort di kawasan seluas kira-kira 1,214 hektar.
Projek taman solar itu dijangka melibatkan kemudahan solar fotovoltaik berkapasiti 1,000 megawatt-peak (MWp) yang digabungkan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 1,600 megawatt-jam (MWh).
Dalam kenyataan medianya, Helios menyatakan, ``Dengan populasi Harimau Malaya yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor di habitat liar, inisiatif ini dijangka menyokong usaha pemuliharaan melalui kerjasama dengan organisasi berkaitan.
"Resort eko-pelancongan yang dibangunkan akan dijana sepenuhnya menggunakan tenaga bersih daripada taman solar tersebut, sekali gus menjadi model pembangunan mampan.
"Projek ini juga dijangka merangsang ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta penglibatan komuniti Orang Asli, menonjolkannya sebagai hab tenaga bersih dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia," kata Helios. - DagangNews.com








