KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan memberi jaminan setiap kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang dikeluarkan status pewartaannya bagi tujuan pembangunan atau aktiviti pengambilan sumber akan digantikan dengan kawasan hutan baharu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah penggantian itu selaras dengan dasar pemuliharaan hutan negeri bagi memastikan keluasan kawasan berhutan terus dipelihara walaupun terdapat kawasan tertentu yang digunakan untuk tujuan ekonomi.
Beliau berkata, isu berkaitan Hutan Simpan Kekal Temangan di Machang timbul selepas kawasan berkenaan dikenal pasti mempunyai sumber granit yang mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan menerusi aktiviti perlombongan.
“kelulusan bagi menjalankan aktiviti perlombongan granit di kawasan itu telah diberikan kepada sebuah syarikat sejak 2009 selepas mendapati kawasan berkenaan mempunyai sumber mineral yang berpotensi untuk diusahakan.
"Kelulusan itu telah diberikan pada kerana kawasan tersebut mempunyai sumber granit yang boleh dibangunkan. Bagaimanapun, proses mengeluarkan kawasan itu daripada senarai Hutan Simpan Kekal negeri hanya dilaksanakan secara rasmi baru-baru ini," katanya.
Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung status penggantian kawasan hutan yang terlibat susulan penyahwartaan tersebut.
Beliau berkata, jabatan itu memaklumkan setiap kawasan Hutan Simpan Kekal yang dikeluarkan daripada pewartaan perlu digantikan dengan kawasan lain.
Jaminan itu penting bagi memastikan tindakan menggunakan sebahagian kawasan hutan untuk tujuan pembangunan tidak menyebabkan pengurangan keseluruhan kawasan hutan simpan di negeri berkenaan.
Menurutnya, penggantian kawasan hutan merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan negeri dalam menyeimbangkan keperluan pembangunan ekonomi dengan usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
Kawasan Hutan Simpan Kekal Temangan sebelum ini dikenal pasti mempunyai sumber granit yang sesuai untuk aktiviti perlombongan, sekali gus menjadi faktor utama kelulusan pembangunan diberikan lebih awal.
Bagaimanapun, kerajaan negeri menegaskan proses pembangunan sumber asli perlu dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kepentingan pemeliharaan hutan serta keseimbangan ekosistem. - DagangNews.com








