Kejayaan Sunway Construction raih kontrak di Bukit Chagar kurangkan kebergantungan kepada pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kejayaan Sunway Construction raih kontrak di Bukit Chagar kurangkan kebergantungan kepada pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Kejayaan Sunway Construction Group Berhad memperoleh kontrak berjumlah RM1.5 bilion bagi melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit Sistem Transit Rapid (RTS TOD) di Bukit Chagar, Johor menandakan peralihan strategik daripada kebergantungan kepada projek pusat data (DC) buat masa ini.

 

CGS International berkata, projek baharu itu akan mengurangkan pendedahan kumpulan kepada projek pusat data daripada 55% buku pesanan berjumlah RM7.5 bilion pada Disember 2024 kepada 44% pada Mac 2025.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan peratusan itu akan meningkat semula, dengan potensi pengembangan dua projek pusat data sedia ada dalam buku pesanan semasa Sunway Construction.

 

"Kumpulan itu menunjukkan penyertaan aktif dalam enam tender untuk pelanggan baharu dan peluang peningkatan yang berpotensi untuk projek pusat sedia ada.

 

"Sasaran kemenangan pesanan baharu kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) kekal antara RM4.5 bilion dan RM6 bilion, merangkumi projek pusat data, pratuang dan projek dalaman, tetapi tidak termasuk projek infrastruktur kerajaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Construction dapat kontrak RM1.5 billion laksana projek beroritentasikan transit di Bukit Chagar

 

CGS International menganggarkan Sunway Construction perlu memperoleh separuh daripada sasaran ini, antara RM2.25 bilion dan RM3 bilion, menjelang separuh pertama 2025 untuk memastikan kesinambungan pendapatan sehingga FY26, memandangkan kadar pembakaran suku tahunannya RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion. 

 

Oleh itu, kemenangan RM1.5 bilion baru-baru ini dianggap tepat pada masanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "tambah" dengan harga sasaran (TP) RM5.70 sesaham.

 

Katanya, prestasi kukuh Sunway Construction memliki kelebihan dalam sektor pusat data dan unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan esaham (EPS) tiga tahun sebanyak 27% dari FY24 hingga FY27. - DagangNews.com