KUALA LUMPUR 29 Okt - Kegagalan membangunkan pusat data di Bangi tidak akan menjejaskan pembangunan hartanah teras Mah Sing Group Bhd, yang masih berada di landasan kukuh, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, pelancaran terkini projek hartanah seperti M Legasi di Semenyih dan M Grand Minori di Johor Bahru mencatat pengambilan 90%, menandakan permintaan mantap untuk rumah mampu milik.
"Dengan RM1.15 bilion jualan diperoleh pada 1H25 (43% daripada sasaran FY25), sekitar RM400 juta dalam tempahan, dan RM1.85 bilion pelancaran dirancang untuk 2H25, kumpulan ini dijangka mencapai sasaran jualan tahunan sekurang-kurangnya RM2.65 bilion," katanya dalam nota penyelidikan terkini.
ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan bina pusat data di tapak tanah milik Mah Sing di Bangi tergendala
Mah Sing dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam memberitahu tempoh eksklusiviti bagi perjanjian kerjasama kedua antara anak syarikat milik penuhnya , iaitu Southville City Sdn Bhd, dan Bridge Data Centres Malaysia VII Sdn Bhd telah tamat.
Tempoh eksklusiviti bagi perjanjian kerjasama yang dimeterai pada 28 Oktober 2024 telah tamat pada 28 Oktober 2025.
Perjanjian tersebut bertujuan membangunkan bersama kemudahan dan infrastruktur pusat data (DC) di atas tanah berkeluasan kira-kira 14.44 hektar dalam kawasan Mah Sing DC Hub @ Southville City seluas 60.7 hektar yang terletak di Bangi, Selangor.
Menurut TA Securities, walaupun berasa kecewa dengan gagalnya kolaborasi Mah Sing–BDC, hasil ini tidak sepenuhnya mengejutkan.
Katanya, tekanan dalam sektor pusat data, termasuk kenaikan tarif elektrik, cadangan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat (AS) ke Asia Tenggara, serta ketidakpastian geopolitik, telah mendorong pengendali berskala besar menilai semula kos dan risiko operasi di Malaysia.
"Perlu diingat bahawa Mah Sing telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak memasukkan komponen pusat data dalam penilaian selepas tamatnya kolaborasi pertama pada Mei lalu.
"Sumbangan pendapatan dari projek pusat data tidak dimasukkan dalam unjuran, menjadikan tamatnya perjanjian ini tidak menjejaskan sasaran harga saham atau unjuran pendapatan," katanya.
Menurut TA Securities, selepas tamat kedua-dua perjanjian kolaborasi, Mah Sing terus berbincang dengan pihak berkepentingan untuk meneroka usaha sama, projek bina untuk sewa, atau penjualan tanah terus untuk tapak Southville City.
Berdasarkan proses due diligence yang panjang dan keadaan pasaran semasa, penjualan tanah terus dilihat sebagai pilihan lebih menarik kerana membolehkan realisasi nilai lebih cepat dan risiko pelaksanaan lebih rendah berbanding struktur bina untuk sewa atau usaha sama ekuiti.
"Kami berpendapat bahawa transaksi berjaya, terutamanya penjualan tanah terus, boleh menjadi pemangkin penilaian semula jangka sederhana untuk Mah Sing," kata firma itu.
TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan FY25-27 kerana pendapatan teras hartanah stabil dengan sasaran harga kekal RM1.72/seunit, Cadangan: Beli, penilaian berdasarkan CY26 P/Bk 1.0x dan premium ESG 3%. - DagangNews.com








