KUALA LUMPUR 12 Feb – Dayang Enterprise Holdings Bhd (DEHB) berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang baharu dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas (O&G) disokong oleh baki kontrak yang sihat serta kedudukan tunai yang mantap, menurut penganalisis saham.
RHB Research berkata, baki kontrak panggilan (call-out) tertunggak dianggarkan sekitar RM4.8 bilion menyediakan keterlihatan pendapatan yang jelas bagi tempoh jangka sederhana.
Perkembangan tersebut selari katanya, selari dengan Tinjauan Aktiviti 2026–2028 Petronas yang terus menunjukkan permintaan mampan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian, khususnya bagi aset luar pesisir.
Dalam masa sama, kedudukan tunai bersih DEHB sebanyak RM365 juta memperkukuh keupayaan kumpulan untuk membida projek baharu serta meneroka peluang strategik.
"Pengurusan dilaporkan sedang menilai beberapa inisiatif termasuk usaha sama (JV) dan memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluas kehadiran syarikat dalam rantaian nilai perkhidmatan O&G, sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM2.13, membayangkan potensi kenaikan sekitar 22% daripada paras semasa, selain anggaran hasil dividen kira-kira 8%.
Bagaimanapun firma itu mengakui prestasi suku pertama lazimnya lebih perlahan berikutan faktor bermusim.
Pelaksanaan kerja luar pesisir biasanya terjejas oleh keadaan monsun dan kelembapan pesanan kerja, menjadikan tempoh tersebut sebagai suku paling lemah dalam kitaran operasi tahunan.
Sehubungan itu, prestasi suku pertama dijangka lebih sederhana sebelum kembali pulih dan menunjukkan peningkatan mulai suku kedua dan seterusnya, sejajar dengan peningkatan aktiviti lapangan.
Sementara itu CGS International berkata, dari sudut kedudukan kewangan, DEHB terus mencatatkan pengukuhan lembaran imbangan apabila tunai bersih meningkat kepada RM678 juta pada akhir 4Q25 berbanding RM568 juta setahun lalu, meskipun kumpulan membelanjakan RM217 juta bagi perbelanjaan modal dan pembayaran dividen sepanjang tahun.
Sehubungan itu firma itu mengekalkan saranan TAMBAH dengan harga sasaran RM2.10 berasaskan model Gordon Growth (GGM), memandangkan penilaian saham yang masih rendah pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026F ex-tunai sebanyak 6.7 kali — menghampiri paras terendah dalam julat 12 tahun.
Saham itu turut menawarkan hasil dividen menarik sekitar 6.1% bagi 2026 berdasarkan andaian nisbah pembayaran konservatif 65%.
Kata firma itu lagi, prospek 2026 dijangka lebih stabil apabila aliran pesanan kembali normal selepas tahun peralihan pada 2025.
Pemangkin penarafan semula termasuk pelaksanaan inisiatif pengurusan modal, pengiktirafan buku pesanan yang lebih pantas serta kejayaan memperoleh kontrak baharu.
"Antara risiko utama ialah kelewatan aliran kerja serta hasil rundingan Petronas-Petros yang tidak memihak," katanya. - DagangNews.com








