KDNK rantau Asia Pasifik kekal kukuh disokong oleh keadaan kewangan global stabil, kata Moody's  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK rantau Asia Pasifik kekal kukuh disokong oleh keadaan kewangan global stabil, kata Moody's 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Pertumbuhan ekonomi rantau Asia Pasifik (APAC) mengalami pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kukuh tetapi menyederhana, disokong oleh keadaan kewangan global stabil, kata Moody's.

 

Agensi penarafan itu berkata, dengan inflasi semakin perlahan, kerajaan dapat peluang untuk menyesuaikan dasar bagi mengukuhkan lagi ekonomi. 

 

Bagaimanapun, dasar baharu daripada kerajaan AS mungkin menyebabkan inflasi meningkat semula, yang boleh memperlahankan pelarasan ini.

 

Moody's menegaskan ketegangan geopolitik kekal sebagai risiko utama kepada persekitaran perdagangan global.

 

"Peningkatan tekanan geopolitik selanjutnya akan memudaratkan ekonomi rantau APAC, kerana dasar pemecahan berkemungkinan mengurangkan aktiviti dalam rakan dagangan utama," katanya.

 

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengumumkan kenaikan tarif 10% ke atas import China bermula 4 Februari 2025, bersama-sama kajian semula dasar perdagangan komprehensif yang dijangka diumumkan menjelang April, yang akan membentuk strategi perdagangan AS jangka panjang.


Moody's menjangkakan makroekonomi yang lebih stabil mampu meningkatkan keyakinan pasaran perbezaan kadar faedah bon dolar APAC dengan bon lain semakin kecil.

 

Walau bagaimanapun, Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin tidak melonggarkan dasar seperti yang dijangkakan, disebabkan oleh potensi risiko inflasi.

 

"Kadar dasar di rantau ini masih boleh kekal di atas paras sedekad lalu yang boleh menurunkan tekanan aliran keluar modal dan meningkatkan nilai mata wang APAC," katanya.

 

Di China, bank menghadapi cabaran kredit yang berterusan, tetapi sokongan kerajaan telah menstabilkan keadaan untuk firma bukan kewangan.

 

Di tempat lain di rantau APAC, syarikat bukan kewangan dan kebanyakan sistem perbankan mengekalkan prospek yang stabil.

 

“Bagaimanapun, risiko pembiayaan semula kekal tinggi bagi firma yang bergantung kepada pasaran hasil tinggi.

 

"Unjuran ekonomi APAC yang stabil sebahagiannya mencerminkan permintaan domestik yang berdaya tahan, disokong oleh penambah baikan keadaan kewangan global dan serantau," katanya.- DagangNews.com