KUALA LUMPUR 20 Jan – Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9% pada 2025, melebihi unjuran rasmi 4.0% hingga 4.8%, manakala jumlah perdagangan negara juga melepasi RM3 trilion buat pertama kali, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, prestasi ekonomi yang kukuh turut disokong oleh nilai ringgit yang terbaik dalam tempoh lima tahun pada paras RM4.05 berbanding dolar AS, serta indeks Bursa Malaysia yang melepasi 1,700 mata, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
“Sejarah tercipta. Jumlah perdagangan tahun lalu melepasi RM3 trilion buat pertama kali,” kata Anwar ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan 4.9% itu mengatasi unjuran rasmi yang diletakkan antara 4.0% hingga 4.8%.
Beliau menambah, butiran lanjut mengenai rekod jumlah perdagangan yang dicapai tahun lalu akan diumumkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) lewat petang ini.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kadar pengangguran berada pada 2.9% pada November tahun lalu, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun.
Beliau mengaitkan pencapaian itu dengan kestabilan politik, kejelasan dasar serta usaha gigih perkhidmatan awam dan komuniti perniagaan.
Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) kemudian mencelah untuk bertanya bagaimana Malaysia akan melindungi pertumbuhan ini daripada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Menjawab soalan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang meneroka pasaran baharu dan telah berjaya menembusi beberapa kawasan baharu bagi meningkatkan akses perdagangan.
Beliau turut menambah bahawa dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, pelaburan yang diluluskan mencecah RM285.2 bilion, meningkat 13.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Anwar mengaitkan pencapaian itu dengan iltizam politik kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar mencabar seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta rasionalisasi subsidi.
Beliau menegaskan bahawa angka-angka positif ini hanya bermakna sekiranya ia dapat disalurkan kembali kepada rakyat melalui program kebajikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kenaikan gaji minimum.
“Diharapkan kita dapat mengekalkan kestabilan ini supaya kita dapat merangka dasar yang lebih meyakinkan untuk rakyat pada tahun ini,” katanya. - DagangNews.com








