KDNK Johor diunjur naik 12% menjelang 2030 berdasarkan momentum JS-SEZ, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK Johor diunjur naik 12% menjelang 2030 berdasarkan momentum JS-SEZ, kata CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi Johor diunjur melepasi 12 peratus menjelang 2030 berdasarkan momentum Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), kata CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu tidak mustahil mampu dicapai sekiranya pelaburan di zon khusus berkenaan terus bergerak lancar seperti yang dirancang oleh pihak berkuasa.


Tambahnya, kemajuan di JS-SEZ akan disusuli dengan peningkatan ketara dalam KDNK per kapita kepada AS$15,817 (kira-kira RM66,696), berbanding hanya sebanyak AS$9,179 (kira-kira RM38,707) pada 2023.


Katanya, walaupun situasi itu mungkin sukar untuk dikekalkan, namun dapat mencapai separuh pecutan pun sudah membawa pertumbuhan kepada 6.1 peratus setiap tahun dan boleh memberikan manfaat bermakna.


“Berdasarkan anggaran, JS-SEZ meningkatkan KDNK per kapita Johor kepada AS$13,932 (RM58,750) pada 2030 jika ekonomi Johor berkembang 8.4 peratus setahun," kata CIMB Securities dalam nota kajian.


Secara jangka panjang katanya, fokus berterusan zon itu meningkatkan KDNK per kapita Johor kepada 12.1 peratus menjelang 2035 dan 15.2 peratus sekiranya ekonomi berkembang dari 2025 hingga 2035.


Johor sudah memperoleh sejumlah RM30.1 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama tahun ini, dengan sebanyak RM26.9 bilion daripadanya diterima menerusi pelaburan langsung asing.


Singapura muncul sebagai pelabur asing yang terbesar, menyumbang RM28.3 bilion dalam 65 projek, mengatasi sumber utama lain seperti Amerika Syarikat (AS$9.9 bilion) dan China (AS$7.9 bilion).


JS-SEZ kata CIMB Securities, menjadi tonggak utama rancangan Maju Johor 2030, yang menyasarkan RM260 bilion KDNK menjelang 2030, hampir dua kali ganda hasil negeri 2023 sebanyak RM148.2 bilion.


Firma itu namun berkata, bagi mencapai angka ini memerlukan kadar pertumbuhan tahunan kompaun 8.4 peratus setahun, iaitu lebih dua kali ganda pertumbuhan tahunan 3.8 peratus antara 2016 dan 2023.


Tambahnya, strategi itu perlu memberi tumpuan kepada sektor yang bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik, sains hayat, ekonomi digital, tenaga hijau, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan logistik.


"Sektor-sektor ini turut sejajar dengan keutamaan JS-SEZ dan menandakan peningkatan rantaian nilai daripada asas pembuatan secara tradisional di Johor selama ini," kata firma penyelidikan itu.


Sebelum ini, Kementerian Ekonomi mengunjurkan potensi JS-SEZ menyumbang RM117.1 bilion kepada KDNK negara menjelang 2030, yang mewakili peningkatan secara purata tahunan kira-kira RM19.5 bilion.


CIMB Securities turut berpendapat, ia mewakili satu peratus daripada KDNK dari 2025 hingga 2030 dan anggaran berdasarkan perkembangan stabil dengan kadar pertumbuhan KDNK negara sebanyak 6 peratus. 


Pemacu pertumbuhan utama termasuk peningkatan pelaburan domestik dan asing dalam sektor seperti logistik, penjagaan kesihatan, pelancongan dan ekonomi digital, serta mobiliti buruh ditingkatkan.


Begitu juga katanya, kemudahan perdagangan rentas sempadan yang lebih baik selari dengan peningkatan infrastruktur utama seperti fasiliti kastam, imigresen dan kuarantin serta rangkaian kereta api.


"Walaupun Singapura tidak mengeluarkan anggaran rasmi, ia dijangka mendapat manfaat tidak langsung melalui peningkatan luar pesisir ke Johor, dan akses bakat Malaysia," tambahnya. - DagangNews.com