Karex dianggar catat pertumbuhan pendapatan kukuh dipacu jualan kondom sintetik baharu, kata AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Karex dianggar catat pertumbuhan pendapatan kukuh dipacu jualan kondom sintetik baharu, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Karex Bhd dianggar mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh pada tahun ini dipacu jualan kondom sintetik baharu di pasaran, kata AmInvestment Bank Research.

 

Katanya, kumpulan itu telah menerima kelulusan kawal selia daripada Pentadbiran Makanan & Ubat-ubatan AS (US FDA) dan Europe Conformite Europeenne (CE) untuk kondom sintetik baharunya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, produk baharu itu akan dilancarkan oleh pelanggannya, Pelanggan R pada tahun ini.

 

"Kami mendapati bahawa kumpulan itu telah pun menghantar beberapa produk kepada Pelanggan R. Kondom sintetik baharu ini diperbuat daripada getah sintetik yang lembut dan tegang tetapi lebih nipis daripada kebanyakan produk sedia ada," katanya dalam satu nota kajian.

 

AmInvestment berkata, keuntungan bersih teras akan berkembang pada kadar pertumbuhan dikompaun (CAGR) sebanyak 42.4% sepanjang FY24-FY27 berikutan peningkatan hasil daripada segmen OEM dan OBM manakala pasaran tender akan terus menyaksikan kelemaha.

 

Katanya, pertumbuhan dalam segmen OEM akan didorong terutamanya oleh produk baharu manakala pertumbuhan segmen OBM akan dirangsang peningkatan permintaan untuk produk premium seperti jenama ONE di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Asia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai kunci kira-kira yang sihat bagi menyokong rancangan pengembanganna pada masa hadapan.

 

"Kunci kira-kira kumpulan adalah sihat dengan nisbah penggearan bersih 0.16x pada FY24. 

 

"Keadaan itu ditambah dengan aliran tunai operasi yang positif, kami percaya Karex mempunyai ruang yang mencukupi untuk bersiap sedia bagi rancangan pembesaran masa hadapan bagi memenuhi potensi permintaan kukuh untuk kondom sintetiknya.

 

"Pengurusan menyasarkan untuk mempunyai enam talian pengeluaran menjelang Julai 2025 dan selepas itu menambah 10 talian baharu setiap tahun, tetapi pengembangan masa depan akan bergantung pada keadaan pasaran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang saranan tetapi memberikan nilai wajar (FV) RM1.60 sesaham.- DagangNews.com