Karel Avni Doshi dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Uzma Berhad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Karel Avni Doshi dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Uzma Berhad

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Feb - Uzma Berhad mengumumkan pelantikan Karel Avni Doshi sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu berkata pelantikan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh komposisi lembaga pengarah selaras dengan amalan tadbir urus korporat yang baik.

 

"Karel mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri perbankan dan perkhidmatan kewangan merangkumi perbankan korporat, komersial, perbankan pelaburan dan kewangan Islam di Malaysia.

 

"Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Komersial di HSBC Bank Malaysia Berhad, dengan tanggungjawab penuh terhadap prestasi untung rugi operasi perbankan konvensional dan Islam.

 

"Sepanjang tempoh perkhidmatan di HSBC, beliau turut memegang jawatan kanan termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Korporat; Ketua Risiko Jenayah Kewangan Perniagaan Asia Pasifik; serta Ketua Pegawai Operasi Perbankan Komersial, meliputi pengurusan strategik, penyeliaan portfolio dan risiko, pematuhan kawal selia serta pembangunan inisiatif kewangan mampan dan ESG," kata Uzma.

 

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di United Overseas Bank, Affin Investment Bank Berhad dan AmBank Berhad, dengan penglibatan dalam perbankan korporat dan pasaran modal hutang.

 

Selain pengalaman korporat, Karel aktif dalam agenda kepelbagaian dan keterangkuman. Beliau merupakan Pengarah Bukan Eksekutif di Junior Achievement Malaysia serta anggota utama 30% Club Malaysia Chapter yang memperjuangkan peningkatan perwakilan wanita dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains daripada Southwest State University.

 

Pelantikan tersebut dijangka menyumbang kepakaran dalam pengurusan risiko, strategi korporat dan tadbir urus bagi menyokong hala tuju pertumbuhan jangka panjang Uzma. - DagangNews.com