KUALA LUMPUR 11 Feb - Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maju setapak lagi menerusi pelancaran LC3 yang dinamakan Sharif Mashor.
Majlis pelancaran dan penamaan Sharif Mashor disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Lumut Naval Shipyard (Lunas), pada Selasa.
Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan kehadiran kenamaan lain termasuk Timbalan Menteri Petahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.

Lunas dalam kenyataan berkata, LCS3 Sharif Mashor telah diluncurkan ke permukaan air pada 31 Januari 2026 yang melibatkan pengujian dan penyempurnaan pelbagai sistem bagi memastikan kesiapsiagaan operasi.
"Sharif Mashor diangkat bagi menghormati tokoh sejarah yang pernah memerintah Sarikei pada pertengahan abad ke-19 dan dikenali atas keberanian serta kepimpinan beliau dalam mempertahankan wilayah.
“Sharif Mashor memainkan peranan penting dalam konflik serantau dan usaha penentangan pada zaman yang penuh cabaran, meninggalkan legasi keazaman, ketahanan dan kebijaksanaan strategik.
“Penamaan LCS 3 ini melambangkan semangat keberanian dan komitmen dalam mempertahankan kepentingan maritim negara," kata kenyataan itu.
Lunas berkata, program LCS terus mencerminkan peningkatan keupayaan Malaysia dalam pembinaan aset pertahanan laut berteknologi tinggi, selari dengan usaha memperkukuh kedaulatan maritim serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan.

Katanya, kapal-kapal kelas Maharaja Lela yang berasaskan reka bentuk korvet Gowind oleh Naval Group Perancis merupakan kapal perang tercanggih TLDM dan direka untuk operasi maritim pelbagai dimensi.
Sementara itu, Lunas memberitahu, LCS 1 telah memulakan Pelayaran Laut Pertama pada 28 Januari 2026, membuktikan kemajuan berstruktur program LCS. - DagangNews.com








