KUALA LUMPUR 29 Mei - Sebuah kapal milik Sealink International Bhd dilaporkan terbakar di perairan Brazil pada 17 Mei lalu.
Menurut syarikat, pihaknya hanya dimaklumkan tentang kejadian itu pada 21 Mei 2025 kerana kapal tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh penyewa di bawah pajakan 'bareboat'.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Sealink berkata, siasatan masih dijalankan dan pemeriksaan sedang dibuat untuk mengetahui tahap kerosakan, yang mungkin serius berdasarkan maklumat awal.
"Syarikat juga bekerjasama dengan penyewa dan pihak lain untuk mengenal pasti punca kejadian serta perkara berkaitan.
"Kami juga telah memaklumkan perkara ini kepada pihak insurans kapal," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Sealink yang berpusat di Sarawak, memiliki 22 kapal sokongan luar pesisir yang kebanyakannya disewa oleh syarikat dalam industri minyak dan gas di Malaysia serta pasaran antarabangsa. - DagangNews.com








