Kajian dedah ladang sawit berfungsi sebagai koridor hidupan liar di Sabah - MPOGCF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kajian dedah ladang sawit berfungsi sebagai koridor hidupan liar di Sabah - MPOGCF

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kawasan pinggir hutan di ladang kelapa sawit kini dikenal pasti bukan sekadar zon peralihan, sebaliknya berfungsi sebagai koridor penting yang membolehkan hidupan liar bergerak dengan lebih selamat antara hutan simpan dan landskap sekitarnya.

 

Dapatan itu diperoleh menerusi kajian terbaharu oleh Global Environment Center (GEC) yang dijalankan di sekitar Hutan Simpan Binsulok dan Hutan Simpan Klias di Beaufort, Sabah, menurut Komunikasi Strategik Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dalam kenyataan media hari ini.

 

Kajian tersebut menunjukkan kawasan pinggir hutan memainkan peranan signifikan dalam menyokong pergerakan pelbagai spesies fauna.

 

Antara hidupan liar yang direkodkan menggunakan koridor ini termasuk mamalia besar seperti rusa sambar, babi janggut Borneo, kucing batu dan monyet Belanda, selain mamalia kecil, reptilia serta burung pemastautin dan burung berhijrah.


 

Iktisad
Rusa Sambar

 

solar
Monyet Belanda

 

solar

 

solar

 


Sepanjang tempoh 12 bulan kajian, sebanyak 13 perangkap kamera telah dipasang di lokasi strategik di sepanjang sempadan ladang kelapa sawit yang bersebelahan dengan hutan simpan, bagi merekodkan pola pergerakan hidupan liar.

 

Projek pengumpulan data biodiversiti ini bermula pada Disember 2024 dan berakhir pada Disember 2025, melibatkan beberapa ladang kelapa sawit milik swasta serta pekebun kecil di daerah Beaufort, barat daya Sabah.

 

Kajian ini ditaja oleh MPOGCF dengan kerjasama agensi Kerajaan Negeri Sabah termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar serta Pusat Biodiversiti Sabah, selain penglibatan syarikat perladangan dan pekebun kecil.

 

Objektif utama kajian adalah untuk mengenal pasti spesies hidupan liar yang terdapat di kawasan ladang kelapa sawit bersebelahan hutan simpan serta menilai tahap kepelbagaian biodiversiti bagi menyokong pengurusan kawasan pemuliharaan tanah gambut.

 

Dapatan kajian ini akan dijadikan rujukan penting dalam usaha memperkukuh pengurusan pemuliharaan hidupan liar di kawasan Klias Peninsula Peatland Landscape (KPPL).

 

KPPL merupakan kawasan tanah gambut yang penting, merangkumi ekosistem hutan paya gambut dan hutan bakau yang menjadi habitat utama pelbagai spesies hidupan liar, selain memainkan peranan dalam mitigasi perubahan iklim serta pengurusan banjir di Beaufort.

 

Selain kajian biodiversiti, projek berkenaan turut melaksanakan kempen kesedaran pencegahan kebakaran tanah gambut, menggalakkan penggunaan tanah secara bertanggungjawab serta mempromosikan usaha pemuliharaan biodiversiti dengan mensasarkan komuniti setempat termasuk pekebun kecil dan pelajar sekolah.

 

Dalam masa sama, projek ini menyokong peranan pekebun kecil sawit melalui penubuhan pasukan rondaan bagi mencegah kebakaran tanah gambut serta usaha menubuhkan Komuniti Bomba Sukarela di bawah pengurusan Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Beaufort. - DagangNews.com