KUALA LUMPUR 10 Jun - Kadar penghunian Al-Salam Real Estate Investment Trust (REIT) berpotensi meningkat kepada antara 80% hingga 85% menjelang 2027 berbanding 69% pada suku pertama 2025.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, peningkatan itu didorong langkah penyusunan semula ruang dan peralihan kepada pajakan asas tetap.
"Kami menganggarkan peningkatan sewaan kira-kira RM3.5 juta atau sekitar 4% daripada hasil bagi tahun kewangan 2026 (FY26),” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, Komtar JBCC di Johor Bahru yang merangkumi kira-kira satu pertiga daripada nilai keseluruhan hartanah Al-Salam, sedang menjalani penambahbaikan besar-besaran, dengan ruang makannya siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.
Penyusunan semula tingkat dua pula mendorong peralihan ke arah penyewa utama mini, jenama antarabangsa, konsep “grab-and-go” serta kategori seperti farmasi dan makanan dan minuman (F&B).
Katanya, tingkat 3 akan dihubungkan oleh jambatan pejalan kaki bertingkat yang dijadualkan dibuka pada suku pertama 2027 dan dijangka dapat meningkatkan jumlah pengunjung dengan ketara.
Sementara itu, Maybank IB berkata, prestasi Al-Salam pada suku pertama 2025 menunjukkan peningkatan ketara, didorong pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lebih tinggi daripada Komtar JBCC.
Margin NPI runcit meningkat daripada 55.9% kepada 58.4%, manakala aliran tunai bersih daripada operasi melonjak lebih 90% tahun ke tahun, disokong kutipan sewa yang lebih kukuh dan kecekapan operasi yang lebih baik.
Namun begitu, kadar hutang kekal tinggi pada kira-kira 49%, yang mengehadkan keupayaannya untuk membuat pengambilalihan dalam jangka masa terdekat.
“Pihak pengurusan sedang meneroka pinjaman jangka panjang untuk membiayai semula pinjaman jangka pendek dan mengurangkan turun naik aliran tunai, dengan sasaran untuk menyusun semula struktur modal pada separuh kedua 2025,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, Al-Salam telah melancarkan strategi "DISRUPT27", yang bertujuan membina portfolio yang lebih berdaya tahan dan fokus, berasaskan aset runcit dan industri berkualiti tinggi.
Katanya, teras kepada transformasi itu adalah usaha memulihkan Komtar JBCC menjelang 2027, dengan memanfaatkan pembangunan infrastruktur terutamanya Sistem Transit Rapid (RTS).
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran tidak berubah 40 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








