KAB peroleh 47.5% ekuiti dalam Jati Cakerawala, ceburi industri pengeluar tenaga bebas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAB peroleh 47.5% ekuiti dalam Jati Cakerawala, ceburi industri pengeluar tenaga bebas

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Feb - Kinergy Advancement Berhad (KAB) mengumumkan pemerolehan 47.5% ekuiti dalam Jati Cakerawala Sdn Bhd, anak syarikat sepenuhnya milik Pesaka Ventures Sdn Bhd (PVSB).

 

Pemerolehan bernilai RM35 juta itu, menandakan potensi KAB untuk memasuki bidang Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). 

 

KAB akan mengambil peranan sebagai satu daripada pembangun projek bersama pemegang saham lain, dalam usaha penjanaan semula Loji Tenaga 650 Megawatt berkenaan.

 

Aset tenaga tersebut merupakan loji tenaga 650-megawatt (MW) yang terletak di tapak pesisir pantai seluas 37.5 hektar di Perlis, yang dimiliki oleh Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd (TTPC), sebuah pengeluar tenaga bebas (IPP) terkemuka di Malaysia. 

 

Loji itu tamat perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dan telah dihentikan operasinya pada Mac 2024.

 

Setelah menjadi aset penting dalam bekalan tenaga negara selama lebih dua dekad, tapak tersebut kini dibuka semula sebagai projek berpotensi tinggi. 

 

Pembangunan semula dan penjanaan semula loji berkenaan memberikan peluang unik untuk memperkukuh kemudahan tenaga negara dan menawarkan jaminan tenaga jangka panjang untuk pertumbuhan Malaysia di masa depan.

 

KAB berjaya memperoleh perjanjian strategik dengan PVSB selepas diiktiraf sebagai pemaju yang sesuai untuk membangunkan semula dan menjana semula tapak tersebut.

 

Selain tanah yang berharga, kelebihan utamanya terletak kepada kemudahan yang dijangka memberikan banyak manfaat dan membantu kejayaan projek, sekali gus menguatkan alasan pelaburan kumpulan.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Dato' Lai Keng Onn berkata, nilai strategik pemerolehan tersebut datang daripada kemudahan tenaga yang kukuh yang telah dibina sebelum ini.

 

"Kedudukannya yang berhampiran dengan talian penghantaran 275kV TNB dan saluran paip Peninsular Gas Utilisation (PGU) III memastikan akses yang lancar kepada kedua-dua pengedaran tenaga dan bekalan gas asli. 

 

"Selain itu, ketersediaan sumber air yang boleh dipercayai di tapak tersebut membuktikan ia sesuai untuk pembangunan loji tenaga baharu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menyedari kekurangan bekalan tenaga yang kritikal di Semenanjung Malaysia, pemerolehan berkenaan dan penjanaan semula akan membantu menangani masalah tenaga negara. 

 

Ia akan memberikan sumbangan besar dalam menstabilkan bekalan tenaga Malaysia dan memastikan keselamatan tenaga jangka panjang untuk seluruh negara.

 

Sejak pengumuman itu, KAB komited untuk menggunakan sepenuhnya kemampuan dan sumber daya bersama semua pihak yang terlibat bagi memastikan kejayaan pembangunan projek tenaga tersebut. 

 

Setelah loji tenaga baharu berkenaan beroperasi, ia dijangka memberi sumbangan besar dan berterusan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan. 

 

Sebagai projek penjanaan semula utama, ia akan mengukuhkan lagi kepakaran dan pengalaman KAB serta memperkuat kedudukannya untuk terus berkembang dalam sektor tenaga. - DagangNews.com