KUALA LUMPUR 24 Feb - Seiko Epson Corporation mengumumkan peralihan kepimpinan, dengan Junkichi Yoshida dijadual memegang jawatan sebagai Presiden dan Pengarah Wakil serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa pada 1 April 2025.
Presiden dan CEO semasa, Yasunori Ogawa, akan beralih ke jawatan Pengerusi dan Pengarah.
Yoshida, yang telah berkhidmat dengan Epson sejak tahun 1988, kini memegang jawatan sebagai Pengarah, Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Penyelesaian Pencetakan.
Kepimpinannya dijangka memainkan peranan penting dalam melaksanakan visi strategik Epson apabila syarikat itu menamatkan inisiatif Epson 25 Renewed dan merangka pelan hala tuju korporat seterusnya.
Yoshida yang merupakan lulusan ekonomi dari Universiti Keio di Jepun, mula bertugas di Seiko Epson Corporation pada April 1988 sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar Jabatan Perancangan Strategik Pencetak pada 2012.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran Bahagian DX, Pegawai Eksekutif (jawatan semasa) dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Operasi Penyelesaian Pencetakan.
Epson menyatakan, peralihan itu yang telah diluluskan oleh lembaga pengarah selepas perbincangan oleh Jawatankuasa Pencalonan Pengarah, bertujuan untuk mengukuhkan asas pengurusan dan mempercepatkan inovasi.
Perubahan kepimpinan tersebut menandakan langkah penting dalam strategi Epson untuk meningkatkan nilai korporat dan mendorong pertumbuhan pada masa hadapan. - DagangNews.com








