KUALA LUMPUR 7 Feb - Sektor pembuatan Malaysia merekodkan jualan RM1.9 trilion bagi 2024, didorong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Nilai jualan meningkat sebanyak 4.6% pada 2024, lonjakan ketara berbanding dengan peningkatan 0.2% pada 2023.
Pada asas bulanan, jualan Disember mencecah RM158.4 bilion, meningkat 5.7%.
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan pekerja meningkat pada 2024 sebanyak 1% kepada 2.40 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.5% kepada RM99.3 bilion.
Beliau berkata subsektor makanan, minuman dan tembakau terus mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 14.6% pada Disember 2024 berbanding 12.3% pada November.
“Jualan produk elektrik dan elektronik meningkat 8.7%, manakala produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi meningkat 3.2%.
“Nilai jualan industri berorientasikan eksport, yang menyumbang 70.1% daripada jumlah jualan, meningkat sebanyak 7.1%.
“Ini didorong oleh pengeluaran komputer, elektronik dan produk optik yang lebih tinggi pada 9.4%, diikuti oleh pengeluaran industri minyak dan lemak sayuran dan haiwan (17%) dan produk getah (10.7%)," katanya dalam satu laporan dikeluarkan DOSM, hari ini.

Industri berorientasikan domestik juga bertambah baik sebanyak 2.5% pada Disember 2024, didorong oleh pembuatan produk pemprosesan makanan yang melonjak kepada 11.2% daripada 8.7% pada November 2024.
Mohd Uzir berkata, bilangan pekerja terus meningkat pada Disember kepada 2.4 juta orang.
Sementara itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7%, berjumlah RM8.9 bilion.
“Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM66,027 (4.6%), manakala purata gaji dan upah setiap pekerja pada Disember 2024 ialah RM3,706, meningkat sebanyak 0.6% pada asas tahunan,” katanya.
Pada suku keempat 2024, nilai jualan dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.4% tahun ke tahun, mencecah RM481.8 bilion.
Kenaikan ini disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (12.7%), produk elektrik dan elektronik (6.8%), serta kayu, perabot, produk kertas dan percetakan (2%).
Bilangan pekerja pada suku tersebut meningkat 1%, manakala gaji dan upah yang dibayar kekal pada 1.7%. - DagangNews.com








