KUALA LUMPUR 25 Feb - Jumlah jualan sarung tangan Supermax Corp Bhd pada separuh pertama 2025 diramal menyusut memandangkan pelanggan Amerika Syarikat (AS) sudah menambah inventori sebelum pelaksanaan tarif baharu pada Januari 2025.
TA Securities berkata, industri sarung tangan akan terus berdepan saingan daripada pembuat sarung tangan China kerana mereka semakin agresif menyasarkan pasaran baharu bukan AS.
Firma penyelidikan itu memahami, jurang harga antara sarung tangan Malaysia dan China adalah kira-kira AS$2 bagi setiap 1,000 keping dan lebihan bekalan global dijangka berterusan.
"Mengenai pengembangan, barisan pertama pengeluaran di kilang AS, apabila siap dipasang sepenuhnya pada 2025, akan mampu menghasilkan 2.4 bilion sarung tangan setiap tahun.
"Kapasiti pengeluaran Supermax berjumlah 21 bilion pada penghujung 2024. Secara keseluruhan, kami menjangkakan kadar penggunaan kilang Supermax adalah sekitar 52% untuk FY25," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu melaporkan kerugian suku tahunan kesembilan berturut-turut untuk suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25), tetapi lebih kecil berbanding setahun sebelumnya apabila pendapatan meningkat berikutan pemulihan permintaan sarung tangan global, di samping keuntungan tukaran mata wang asing dan usaha rasionalisasi kos serta automasi.
Kerugian bersih suku tahunan berjumlah RM4.92 juta berbanding RM44.36 juta pada 2QFY24.
Peningkatan itu sebahagiannya didorong keuntungan tukaran mata wang asing sebanyak RM29.5 juta daripada dolar AS yang lebih kukuh berbanding ringgit, serta keuntungan kecekapan daripada langkah automasi dan rasionalisasi kos.
Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada "pegang" berbanding "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 93 sen sesaham.- DagangNews.com








