Jualan runcit Pavilion REIT pada 3Q25 diramal kekal perlahan, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan runcit Pavilion REIT pada 3Q25 diramal kekal perlahan, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Julai — Amanah Pelaburan Hartanah Pavilion (Pavilion REIT) dikhuatiri mencatatkan jualan runcit yang masih kekal lemah pada tempoh suku ketiga tahun ini, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan tersebut disebabkan jangkaan kekurangan perbelanjaan dalam kalangan pengguna yang mungkin lebih berhati-hati dengan sambutan musim perayaan tertentu.

 

Tambahnya, pengunjung tempatan diramalkan tidak berbelanja lebih dan kumpulan tersebut juga berisiko jika berlaku kadar penghunian yang lebih rendah daripada jangkaan sepanjang tahun ini.

 

"Pavilion REIT turut berdepan dengan kelemahan pengembalian sewa oleh penyewa yang tidak mahu menyambung semula penyewaan disebabkan kenaikan pelbagai kos," kata RHB Research dalam notanya.

 

Bagaimanapun, firma tersebut meramalkan perbelanjaan pengguna kembali meningkat dan lebih kukuh pada tempoh suku keempat 2025 berikutan cuti penggal akhir persekolahan dan beberapa perayaan.

 

Dalam jangka masa terdekat tambah firma itu, pengurusan kekal yakin mencapai perolehan sewa pada FY25, dan disokong oleh faktor kuasa tawar-menawar kukuh daripada kadar penghunian yang tinggi.

 

Selain itu, Pavilion REIT kata RHB Research, dilihat tidak terjejas walaupun terdapat kebimbangan berhubung perluasan Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan dan pajakan premis.

 

"Pavilion Kuala Lumpur harus mendapat manfaat peningkatan pelancong yang biasanya menyumbang 30 peratus daripada jumlah pengunjungnya dan berbelanja lebih daripada pembeli tempatan," katanya.

 

Sementara itu tambah firma tersebut, Pavilion Bukit Jalil berada di landasan yang tepat untuk mencapai 94 peratus penghunian menjelang akhir FY25, dengan sebahagian besar ruang telah diisi.

 

Da Men Mall pula kata RHB Research, telah selesai memeterai perjanjian pajakan induk dengan Easyhome International dan berpotensi menjadikan aset berprestasi rendah itu lebih menguntungkan.

 

Berdasarkan perkembangan berkenaan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas Pavilion REIT dengan harga sasaran ditingkatkan kepada RM2.00 berbanding RM1.74 sebelumnya. - DagangNews.com