Jualan Mah Sing dijangka mampu cecah sasaran RM2.65 bilion pada FY25 — MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan Mah Sing dijangka mampu cecah sasaran RM2.65 bilion pada FY25 — MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Julai — Mah Sing Group Berhad dijangka mampu mencatatkan pertumbuhan lebih baik sehingga mencecah sasaran RM2.65 bilion yang ditetapkan pada tahun ini, menurut MIDF Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu didorong momentum jualan baharu yang teguh dapat dikekalkan menerusi unit-unit projek siri M yang berharga dalam julat mampu milik.


Tambahnya, kumpulan pemaju berkenaan sudah merekodkan jumlah jualan baharu sebanyak RM1.01 bilion dalam tempoh lima bulan pada tahun kewangan 2025 dan disifatkan sebagai berada di landasan betul.

 

 

 

 

 


"Secara keseluruhan, kami positif terhadap konsep inovasi hijau perbandaran Mah Sing ditawarkan melalui siri M di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang," kata MIDF Research dalam nota kajiannya.


Selain projek terbaharu M Legasi di Semenyih, Selangor yang dilancarkan pada 26 Jun 2025, ia turut merancang banyak lagi pembangunan hartanah terkini dalam tempoh enam bulan terakhir tahun ini.


Antaranya Meridin East, M Tiara 2 dan Tiara Hills serta M Grand Minori di Johor Bahru, M Aurora di Jalan Klang Lama, M Aria di Sentul, M Zenni di Pulau Pinang dan Icon City 2 di Petaling Jaya.


Kata MIDF Research, sehingga 30 Mei 2025, kumpulan hartanah ini berjaya mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan kira-kira RM1 bilion dalam baki bank tunai dan pelaburan jangka pendek.


"Mah Sing turut sentiasa mencari bank tanah strategik untuk mengembangkan portfolio kediaman dan perindustrian terutama di kawasan pertumbuhan tinggi seperti Johor dan Pulau Pinang," katanya.


Ia tambahnya, juga menunjukkan komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang tinggi dalam membina pelbagai projek perbandaran secara mampan untuk dihuni semua generasi.


Berdasarkan potensi tersebut, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan pemaju ini dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM1.37 sesaham. - DagangNews.com