KUALA LUMPUR 4 Ogos — Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) dibimbangi mencatatkan hasil jualan produknya yang lebih rendah untuk tahun kewangan pada 2025 sehingga 2027, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan itu disebabkan prestasi perniagaan daripada jualan yang amat lemah di pasaran Malaysia dan beberapa negara Indochina pada tempoh 9MFY25 sendiri.
Sisihan negatif berkenaan tambahnya, berikutan faktor permintaan yang berhati-hati selepas habis musim perayaan utama dan kadar ketibaan pelancong lebih rendah di Thailand dalam masa sembilan bulan lepas.
"Selain itu, kerugian daripada operasi tenusu bersepadu dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi turut mempengaruhi penyusutan keuntungan kumpulan," kata MBSB Research dalam satu nota kajiannya.
Susulan situasi tersebut, firma itu mengurangkan ramalan pendapatan F&N dari FY25 hingga FY27F setelah diambil kira masalah-masalah berkenaan dan dikhuatiri menjejaskan momentum pertumbuhan.
Ia merujuk hasil kumpulan itu pada 3QFY25 sebanyak RM1.25 bilion, iaitu penyusutan 6.6 peratus suku ke suku dan merosot 4.5 peratus tahun ke tahun dengan keuntungan bersih ialah RM98.9 juta.
Bagaimanapun MBSB Research mengekalkan pandangan membina mengenai prospek jangka sederhana hingga panjang, disokong oleh ekuiti jenamanya yang kukuh, dan portfolio luas kepada pelbagai produknya.
"Walaupun jualan jangka pendek mungkin kekal lemah selepas perayaan dan aktiviti pelancongan perlahan di Thailand, kami menjangka pemulihan beransur-ansur di hadapan," kata firma tersebut.
Potensi berkenaan tambahnya, disokong oleh faktor permintaan yang berterusan untuk minuman sedia diminum, strategi promosi cukup berdisiplin dan momentum eksport diramalkan semakin meningkat.
Tinjauan margin F&N juga kata MBSB Research, kekal terurus dengan kecekapan kos dan pengoptimuman portfolio sebahagiannya mengimbangi penyusutan pendapatan daripada usaha tenusu bersepadunya.
Dalam jangka panjang katanya, hab tenusu Gemas, Negeri Sembilan kekal sebagai tonggak strategik, menawarkan faedah integrasi menegak dan meletakkan F&N meneroka segmen susu segar Malaysia.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut tetapi harga sasaran diturunkan kepada RM32.08 sesaham. - DagangNews.com








