Jualan kenderaan baharu diunjur susut kecil kepada 790,000 unit bagi 2026, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan kenderaan baharu diunjur susut kecil kepada 790,000 unit bagi 2026, kata Kenanga

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 JulaiIndustri automotif Malaysia dijangka berdepan penyusutan kecil pada 2026 susulan ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik semasa, menurut analisis Kenanga Research.

 

Firma itu berpandangan, pasaran tempatan kekal berdaya tahan dengan jumlah keseluruhan volum industri (TIV) diunjurkan mencecah 790,000 unit, disokong pelaksanaan subsidi petrol RON95 ketika ini.

 

Selain itu ujarnya, perubahan corak permintaan pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV) bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan industri berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

"Kami unjurkan 790,000 unit bagi 2026 mewakili penyusutan sederhana sekitar 4% tahun ke tahun (YoY), sejajar jangkaan dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA)," jelas Kenanga lagi.

 

Katanya, walaupun harga minyak global mula menunjukkan penurunan, pasaran tenaga masih terdedah kepada risiko ketidaktentuan di Timur Tengah dan gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

 

Ia namun berpandangan faktor itu memberi kesan minimum terhadap jualan kenderaan kerana pengguna di Malaysia masih menikmati subsidi petrol walaupun kuota dikurangkan kepada 200 liter sebulan.

 

sektor automotif_DagangNews2026

 

Tambah Kenanga, 90% rakyat menggunakan kurang daripada had tersebut, mencerminkan sebahagian besar pengguna terus menikmati manfaat subsidi tanpa perubahan ketara terhadap kos penggunaan harian.

 

"Dalam pada itu, kitaran penggantian kenderaan baharu akan semakin memihak kepada EV, yang kini menyumbang 6% daripada jumlah TIV, meningkat ketara berbanding kurang 1% lebih lima tahun lalu.

 

Bahagian pasaran EV diunjur berkembang kepada 10% daripada TIV pada 2027, didorong peningkatan pengeluaran tempatan selain perubahan pilihan pengguna terhadap pengangkutan yang cekap tenaga.

 

Kenanga turut menjangka rasionalisasi subsidi bahan api pada masa depan boleh menggalakkan ramai pengguna beralih kepada motosikal sebagai alternatif yang lebih menjimatkan kos operasi harian.

 

Bagi segmen kenderaan komersial (CV), pengurangan harga diesel bersubsidi dijangka memberi manfaat khusus kepada segmen trak pikap gaya hidup, yang sebelum ini terjejas akibat pelaksanaan bersasar.

 

"Bagaimanapun, kami mengingatkan segmen ini hanya 6% daripada keseluruhan TIV, jauh lebih rendah berbanding 11% lima tahun lalu, sekali gus menunjukkan ruang pemulihan masih diperlukan," katanya.

 

Secara keseluruhan, Kenanga berpandangan industri automotif berada pada landasan sihat meskipun berdepan cabaran luaran dan prospek sektor kekal positif dalam jangka sederhana. - DagangNews.com