KUALA LUMPUR 7 Okt - JTI Malaysia memuji langkah terbaharu kerajaan dalam memerangi perdagangan rokok seludup susulan pengumuman Mesiniaga Berhad memperoleh kontrak bernilai RM135.6 juta bagi membekalkan teknologi penandaan produk serta perkhidmatan pembangunan sistem dan perkakasan menyeluruh kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Kontrak tersebut meliputi penyediaan teknologi penandaan produk, pembangunan sistem dan kelengkapan sokongan bagi memperkukuh integriti rantaian bekalan produk tembakau negara.
Pengarah Urusan JTI Malaysia, Juliana Mohd Yahaya memuji Kementerian Kewangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM atas komitmen berterusan mereka menangani satu daripada cabaran ekonomi paling mendesak di negara ini.
“Langkah ini menandakan kemajuan besar dalam usaha negara membanteras perdagangan rokok seludup,” kata Juliana.
“Kami percaya pelaksanaan teknologi ini akan membantu menutup ruang kelemahan yang selama ini dieksploitasi oleh sindiket jenayah terancang dan pengeluar rokok tiruan. Inisiatif seperti ini amat penting dalam meneruskan perjuangan kami menentang perdagangan haram.”
ARTIKEL BERKAITAN: Mesiniaga peroleh kontrak RM135.6 juta sediakan teknologi penandaan produk kepada Jabatan Kastam
Menurut Tinjauan Insiden Rokok Seludup (Mac 2025), kadar perdagangan seludup kekal tinggi pada 54.6% — melebihi separuh pasaran rokok negara, sekali gus menegaskan keperluan mendesak terhadap tindakan tegas dan penggunaan teknologi digital yang berkesan.
Juliana menambah, langkah progresif kerajaan ini juga sejajar dengan agenda transformasi digital negara, sekali gus mencerminkan keputusan berpandangan jauh dalam memperkukuh penguatkuasaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam industri tembakau.
“JTI Malaysia menyokong sepenuhnya inisiatif ini dan bersedia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pelaksanaannya berjaya,” katanya.
“Dengan memanfaatkan penyelesaian digital yang selamat, Malaysia bukan sahaja memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, malah turut membina asas kepada ekosistem tembakau dan nikotin yang lebih telus serta bertanggungjawab.”
Pelaksanaan teknologi penandaan produk ini dijangka meningkatkan keupayaan pengesanan, membanteras penyeludupan serta meningkatkan hasil kerajaan melalui pengurangan kerugian akibat perdagangan haram.
Pemerhati industri melihat langkah ini sebagai tonggak penting dalam usaha jangka panjang Malaysia untuk mengawal selia sektor tembakau dan melindungi perniagaan sah daripada kesan negatif pasaran gelap. - DagangNews.com








