KUALA LUMPUR 17 Julai — JS Solar Holding Berhad mengesahkan terdapat urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) bernilai RM883,000 yang pernah dilaksanakan sejak penyenaraiannya di Pasaran ACE.
Menurutnya, jumlah tersebut melepasi ambang pelaporan ditetapkan Bursa Malaysia, dan mendorong syarikat perlu mendapatkan mandat pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Kumpulan berkenaan dalam makluman kepada bursa namun menegaskan semua transaksi itu dilaksanakan mengikut terma komersial biasa dan tidak menjejaskan sebarang kepentingan pemegang saham minoriti.
"RRPT itu melibatkan anak syarikatnya, JS Solar Sdn Bhd (JSSB), yang menjalankan urus niaga dengan NUR Renewables Sdn Bhd dan NUR Distribution Sdn Bhd dalam isu perniagaan harian," kata JS Solar.
Jelasnya lagi, nilai agregat transaksi tersebut bagi tempoh 23 September 2025 hingga 30 Jun 2026, melebihi nisbah 1% yang ditetapkan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Daripada jumlah berkenaan ujarnya, JSSB menyediakan perkhidmatan kontraktor bagi sistem fotovolta (PV) solar berskala utiliti kepada NUR Renewables dengan nilai urus niaga yang mencecah RM550,000.

Selain itu, JSSB menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek sistem simpanan tenaga bateri (BESS) kepada NUR Distribution dengan nilai RM333,000.
"Dua syarikat ini ada kaitan dengan pemegang saham utama JS Solar, Ikwan Hafiz Jamaludin, yang merupakan pengarah serta pemegang saham utama tidak langsung kedua-dua syarikat itu," katanya.
Semua RRPT adalah perlu bagi menyokong operasi harian dan dilaksanakan secara bebas berdasarkan terma komersial biasa yang tidak lebih memihak kepada pihak berkaitan berbanding pihak ketiga.
Dari sudut kewangan ujarnya, RRPT itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, penggearan, aset bersih sesaham, modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama.
Lembaga Pengarah serta Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko JS Solar berpandangan RRPT itu adalah demi kepentingan terbaik dan tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti.
"Pada masa sama, pemegang saham utama berkepentingan akan berkecuali daripada sebarang perbincangan dan pengundian berkaitan cadangan mandat itu ketika AGM kelak," katanya. - DagangNews.com








