KUALA LUMPUR 19 Jun – Kerajaan Negeri Johor sedang berbincang dengan syarikat e-hailing Grab bagi mengemas kini Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan, selaras usaha memperkemas perjalanan antara Johor dan Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbincangan itu merupakan perkara utama yang dibangkitkan dalam mesyuarat bersama pihak pengurusan kanan Grab baru-baru ini.
"Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif menyeluruh untuk memperkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan Johor menjelang Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026).
"Rundingan itu turut melibatkan kerjasama rentas sempadan antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura, termasuk peranan Grab dan penyedia pengangkutan awam lain dalam melancarkan perjalanan antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merancang untuk memperkenalkan platform fizikal dan digital bersepadu bagi memaparkan tarikan pelancongan utama di Johor.

Inisiatif itu berpotensi memudahkan pelancong mendapatkan maklumat secara dalam talian dan luar talian, sekali gus menaikkan sektor pelancongan negeri.
Usaha itu juga dijangka membuka peluang pendapatan baharu kepada rakyat, merancakkan ekonomi tempatan, dan memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri moden, terbuka serta mesra pelancong global.- DagangNews.com








