Johor tarik lebih RM162 bilion pelaburan, wujudkan 53,000 peluang pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor tarik lebih RM162 bilion pelaburan, wujudkan 53,000 peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR 9 Jun - Johor berjaya menarik pelaburan sebanyak RM162.2 bilion melibatkan 1,761 projek dari 2022 hingga 2024, sekali gus mewujudkan 53,764 peluang pekerjaan. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, peluang pekerjaan itu diwujudkan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun iaitu 16,762 pada 2022, 19,053 pada 2023 dan 17,949 pada 2024.

 

"Semua pekerjaan baharu itu melibatkan sektor pelaburan. Angka tersebut tidak termasuk pekerjaan dalam sektor pembinaan, logistik, perkhidmatan perniagaan dan runcit," katanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini seperti laporan New Straits Times.

 

Ting Han berkata, Johor kini memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai dan berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor, petrokimia dan pusat data.

 

Jelasnya, syarikat teknologi global seperti Microsoft dan ByteDance memilih Johor sebagai hab pusat data terbesar di Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerja dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

Beliau menambah, Johor turut menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang pembuatan teknologi apabila syarikat seperti Wiwynn dan Supermicro membuka kilang baharu untuk menyokong bekalan pusat data, sekali gus membuka peluang kerja dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan dan pengurusan projek.

 

Katanya, pelaburan besar dan projek utama tersebut, turut memberi kesan positif kepada sektor lain seperti perbankan, audit, logistik dan perundingan.

 

"Sebagai contoh, Mercedes-Benz telah membuka hab logistik serantau di Senai yang bukan sahaja mewujudkan pekerjaan dalam logistik, tetapi turut merangsang perkhidmatan sokongan seperti gudang dan pengangkutan," ujarnya. - DagangNews.com