Johor Port labur RM72.3 juta beli kren Level Luffing baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Port labur RM72.3 juta beli kren Level Luffing baharu

(Dari kiri) : Ketua Pegawai Operasi Johor Port Berhad, Edwin Gerard, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md Derick Basir, Pengurus Besar Jualan Luar Negara Sany Marine Heavy Industry, Tony Tang, dan Pengurus Besar Wilayah Sany Marine Heavy Industry Co. Ltd, Alex Wang.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Jun – Johor Port Berhad memperuntukkan RM72.3 juta bagi memperoleh empat kren Level Luffing untuk meningkatkan kecekapan operasi di Terminal Konvensional.

 

Perjanjian dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir dan Pengurus Besar Jualan Luar Negara Sany Marine Heavy Industry Co Ltd, Tony Tang pada 4 Jun lalu.

 

Empat kren baharu itu dijangka meningkatkan produktiviti dermaga menerusi keupayaan angkat yang lebih baik, jangkauan lebih luas dan ketahanan tinggi, sekali gus memendekkan masa pemulihan kapal serta melancarkan proses pemindahan kargo.

 

JP

 

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin tinggi.

 

"Kami menumpukan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan operasi, dan mengukuhkan kedudukan sebagai pelabuhan pilihan di wilayah selatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai pelabuhan pelbagai guna yang mengendalikan kargo kontena, pukal, pukal am, dan cecair, Johor Port terus melaksanakan inisiatif Perbelanjaan Modal (Capex) strategik bagi memperkukuh kapasiti dan infrastrukturnya.

 

Pemerolehan kren Level Luffing itu merupakan sebahagian daripada pelan capex bernilai RM1 bilion untuk memodenkan fasiliti pelabuhan dan menyokong pertumbuhan masa depan.

 

Antara komponen utama pelan lima tahun itu merangkumi pembangunan Sistem Operasi Terminal (TOS) baharu yang disertakan sistem pemantauan CCTV bersepadu bagi memperkemas operasi pelabuhan secara menyeluruh. 

 

Ia turut melibatkan pemerolehan kren kontena dermaga (QC), kren RTG, reach stacker dan traktor terminal bagi meningkatkan kapasiti serta prestasi terminal kontena.

 

Selain itu, pelaburan turut diperuntukkan bagi penggantian sistem konveyor dan hopper conveyor baharu untuk memperkemas pemindahan kargo pukal serta pembelian kren baharu bagi melicinkan operasi di terminal konvensional.

 

Turut dirancang ialah pembinaan jeti cecair baharu, kerja naik taraf kemudahan pukal dan pukal am, selain pembinaan bangunan baharu bagi Kawasan Pemeriksaan Eksport Kastam serta penaiktarafan jalan sedia ada.

 

Johor Port merupakan lokasi pendaratan utama beras dan koko di Malaysia serta terminal terbesar bagi pengendalian baja dan simen di negara ini.

 

Pelabuhan itu turut diiktiraf sebagai terminal minyak sawit terbesar di dunia dengan kapasiti Terminal Cecair keseluruhan mencecah 20 juta tan metrik.

 

Langkah itu turut memperkukuh asas pertumbuhan jangka panjang Johor Port dan mempertingkat kedudukannya sebagai Pintu Masuk Maritim utama di Asia Tenggara.- DagangNews.com