KUALA LUMPUR 15 Mei - Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatatkan hasil sebanyak RM356.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), meningkat 4.8% berbanding tempoh sama tahun lalu disokong pelaksanaan operasi yang berdaya tahan serta prestasi harga yang terus mengatasi penanda aras industri.
Kumpulan itu berkata, prestasi operasi kekal kukuh sepanjang suku tersebut didorong jumlah penghantaran minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi selain peningkatan penerimaan tanaman luar, kadar pemprosesan kilang yang mampan serta prestasi perahan yang lebih baik.
Menurut kumpulan itu lagi, pencapaian itu dianggap memberangsangkan memandangkan sektor perladangan ketika ini masih berdepan kitaran hasil tanaman bermusim yang rendah.
“Sepanjang suku tersebut, jumlah pemprosesan yang lebih tinggi di seluruh kilang Kumpulan disokong oleh peningkatan pengambilan Pembelian Tanaman Luar (OCP) daripada rangkaian sumber sedia ada termasuk pekebun kecil bebas.
“Langkah itu membolehkan JPG mengekalkan momentum operasi dan mengoptimumkan penggunaan kilang walaupun dalam tempoh hasil tanaman bermusim yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah syarikat itu, prestasi perahan yang lebih baik serta pelaksanaan operasi yang berdisiplin turut menyokong pertumbuhan hasil dan keuntungan operasi sekali gus membuktikan daya tahan JPG dalam menghadapi ketidaktentuan bermusim serta pasaran.
Bagi suku dikaji, JPG merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM50.3 juta, mencerminkan normalisasi harga komoditi berbanding paras luar biasa tinggi yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Premium Harga Melebihi Penanda Aras MPOB
Walaupun berdepan persekitaran harga yang lebih lembut, syarikat itu terus mencatat premium harga melebihi purata penanda aras Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Purata harga jualan CPO direkodkan sebanyak RM4,260 satu tan metrik berbanding purata MPOB RM4,152 satu tan metrik, manakala purata harga jualan PK sebanyak RM3,529 satu tan metrik mengatasi purata MPOB RM3,396 satu tan metrik.
Dalam perkembangan sama, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1 sen sesaham bagi FY2026 sebagai mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham.
Disiplin Operasi dan Penciptaan Nilai Jangka Panjang
Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, syarikat kekal memberi tumpuan kepada disiplin operasi, daya tahan rantaian bekalan dan penciptaan nilai jangka panjang di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik serta pasaran global.
“Keupayaan kami untuk secara konsisten mencapai harga melebihi penanda aras MPOB mencerminkan kualiti operasi bersepadu kami dan kekuatan pelaksanaan komersial syarikat.
“Walaupun peningkatan kos tenaga dan logistik terus mempengaruhi persekitaran operasi keseluruhan, Kumpulan sebahagian besarnya terlindung daripada tekanan kos jangka pendek selepas berjaya mendapatkan harga dan bekalan bagi keperluan baja tahun 2026 melalui strategi perolehan proaktif,” katanya.
Beliau berkata, JPG memasuki baki FY2026 dengan momentum operasi yang mampan serta saluran pertumbuhan strategik yang jelas.
Katanya, Fasa 1 Kompleks Bersepadu Minyak Sawit Mampan (iSPOC) kekal berada di landasan untuk ditauliahkan tahun ini bagi menyokong pengembangan hiliran dan strategi rantaian nilai bersepadu Kumpulan.
Selain itu, JPG terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi, mempercepatkan program penanaman semula serta memperluaskan rangkaian pembekal diperakui bagi memperkukuhkan produktiviti jangka panjang. - DagangNews.com








