KUALA LUMPUR 4 Ogos — Johor Plantations Group Berhad (JPG) menjalin kerjasama strategik dengan dua syarikat milik kerajaan Johor, bagi memacu transformasi merentas sektor minyak sawit di negeri itu.
Kumpulan perladangan itu berkata, ia melibatkan YPJ Plantations Sdn Bhd (YPJP) dan PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJH) dengan gabungan tanah kedua-dua agensi berkenaan berkeluasan kira-kira 13,202 hektar.
Menerusi kerjasama itu tambahnya, mereka akan menumpukan kepada usaha peningkatan produktiviti perladangan melalui pelbagai inisiatif seperti perolehan dan pemprosesan tandan buah segar (BTS).
"Selain itu, khidmat nasihat kemampanan dengan penekanan kepada Pensijilan Minyak Sawit Mampan (RSPO) serta amalan mekanisasi dan teknologi digital juga ditawarkan," kata JPG dalam kenyataan.
Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip, mewakili Menteri Besar, Datuk On Hafiz Ghazi.
Turut hadir pada acara pemeteraian berkenaan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim serta Pengerusi JPG, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Mengulas lanjut JPG berkata, MoU itu membolehkan perolehan berpusat untuk input penting termasuk baja dan melaksanakan program latihan serta peningkatan kemahiran kepada pekerja ladang terbabit.
“MoU ini mencerminkan tanggungjawab kita bersama membina ekosistem perniagaan tani inklusif dan berdaya tahan, khususnya industri minyak sawit serta membina kapasiti jangka panjang," katanya.
Kerjasama antara JPG, YPJP dan PIJH juga tambahnya, bukan sahaja mengukuhkan pertumbuhan korporat tetapi juga menyokong keutamaan Johor dalam kemampanan, pendigitalan dan pembangunan modal insan.
Langkah itu juga membuka kunci nilai jangka panjang, meningkatkan standard pengurusan perladangan, dan menyokong wawasan Johor yang lebih luas menjadi model nasional bagi kepimpinan perniagaan tani.
Sementara itu, Zahari berkata, tumpuan kukuh terhadap peningkatan kemahiran, akan memberikan kesan limpahan daripada perkongsian tersebut bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti di Johor.
"Langkah kerjasama antara tiga pihak berkenaan diharapkan dapat memajukan agenda Tawaran Hijau Johor dan meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam perniagaan tani secara mampan,” kata beliau.
YPJ Plantations merupakan syarikat kerajaan Johor yang dipegang melalui Yayasan Pelajaran Johor manakala PIJ Holdings ialah syarikat kerajaan negeri diperbadankan di bawah Perbadanan Islam Johor,
Dalam pada itu, Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery menegaskan, JPG komited bekerjasama rapat dengan entiti kerajaan negeri sebagai usaha membina ekosistem perniagaan tani yang cekap.
Dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran yang dikongsi, JPG berhasrat untuk meningkatkan lagi tahap produktiviti, menggalakkan amalan mampan dan meningkatkan keupayaan tenaga kerja perladangan.
"Perkongsian ini adalah satu langkah ke hadapan dalam memupuk kerjasama yang memberi manfaat kepada sektor pertanian Johor yang lebih luas,” kata beliau. - DagangNews.com








