KUALA LUMPUR 9 Julai — Johor Plantations Group Berhad diramal mampu mencatatkan perolehan yang lebih baik pada tahun depan didorong peningkatan harga isirung sawit, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia menaikkan andaian berkenaan untuk tahun kewangan 2025 sehingga 2027 di sebalik kesan daripada risiko geopolitik yang menyebabkan ketidaktentuan harga.
Tambahnya, 2026 juga diramal menjadi tahun yang lebih seimbang kepada asas perniagaan kumpulan perladangan itu dengan harga minyak sawit mentah (MSM) diramal lebih rendah tahun ke tahun.
"Kami positif dengan prospek Johor Plantations kerana ia memiliki skor amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) tertinggi di bawah syarikat liputan kami," kata RHB Research dalam notanya.
Selain itu tambah firma berkenaan, kumpulan tersebut mempunyai potensi dalam segmen hiliran yang menjanjikan pulangan positif dan ia percaya penilaian syarikat adalah menarik untuk pelabur.
Harga MSM katanya sederhana daripada MYR4,600 hingga 4,800 setiap tan pada 1QFY25 kepada paras terendah RM3,780 pada Mei 2025 sebelum melantun semula kepada RM3,900 dan RM4,100 pada masa ini.
Perkembangan itu kata RHB Research, didorong terutama oleh geopolitik berikutan tarif perdagangan Amerika Syarikat, konflik di rantau Timur Tengah dan harga minyak mentah antarabangsa yang jatuh.
"Kami meramalkan ada hubungan antara harga MSM dan minyak mentah melonjak daripada April 2025, dan seterusnya meningkat lagi ke paras semasa, disebabkan lebih banyak risiko geopolitik," katanya.
Di samping itu, firma berkenaan menjangkakan harga MSM kekal tidak menentu memandangkan keadaan geopolitik sentiasa berubah namun pada asasnya, penawaran dan permintaan global mungkin seimbang.
Ia diunjurkan berlaku pada 2026, apabila bekalan bertambah baik dan permintaan dijangka meningkat memandangkan harga relatif yang lebih menarik memberi kesan positif kepada Johor Plantations.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan melakukan semakan semula harga sasaran sesaham kepada RM1.55 berbanding RM1.45 sebelum ini. - DagangNews.com








