Johor dijangka catat lonjakan besar pelaburan Singapura ke dalam JS-SEZ, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor dijangka catat lonjakan besar pelaburan Singapura ke dalam JS-SEZ, kata CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — Johor diramal menerima jumlah pelaburan terbesar daripada Singapura, dengan memanfaatkan pertumbuhannya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


CIMB Securities berkata, Johor sudah memperoleh RM30.1 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2025, iaitu satu pertiga daripada jumlah keseluruhan diperoleh Malaysia sendiri.


Firma penyelidikan tersebut berkata, negeri itu merekodkan RM26.9 bilion terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI), didorong oleh inisiatif JS-SEZ dan langkah pembaharuan yang mesra perniagaan.


Kerajaan negeri berkenaan turut menyasarkan RM60 bilion hingga RM100 bilion untuk pelaburan yang diluluskan sepanjang tahun ini, berbanding sebanyak RM48.5 bilion yang diperoleh pada tahun lepas.


Singapura merupakan pelabur terbesar pada 1QFY25 dengan 65 projek berjumlah RM28.3 bilion dalam FDI diluluskan, mengatasi pesaing lain seperti Amerika Syarikat (RM9.9 bilion) dan China (RM7.9 bilion).


“Banyak projek dari Singapura atau menyasarkan permintaan berkaitan negara itu, meneruskan trend dari 2023 apabila ia menjadi sumber FDI utama Malaysia," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.


Syarikat-syarikat negara tersebut masih mengekalkan ibu pejabatnya di Singapura, manakala operasi pembuatan atau infrastruktur data di Johor untuk memanfaatkan kos yang rendah dan insentif SEZ.


Tambah firma itu, kemudahan yang baik juga menyumbang kepada FDI kukuh, selain masa kelulusan proses pelaburan dikurangkan kepada sebulan berbanding tempoh penantian selama tiga bulan sebelum itu.


Sebahagian besarnya tertumpu kepada sektor berimpak tinggi seperti logistik, pusat data (DC), serta perkhidmatan perniagaan moden, sejajar peralihan Johor ke arah industri digital dan bernilai tinggi.


"Ia menawarkan 33,000 pekerjaan manakala beberapa kampus utama DC sudah memulakan pembinaan, sekali gus mengukuhkan reputasi Johor sebagai hab infrastruktur data untuk Asia Tenggara," kata firma itu.


CIMB Securities menambah, keyakinan pelabur pada 1QFY25 juga dirangsang jangkaan perhubungan lebih baik dengan Singapura, apabila projek seperti Sistem Transit Rapid, yang dijangka siap pada 2026.


Selain itu, terdapat potensi penerusan semula projek rel mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang menandakan penambahbaikan prasarana logistik utama antara kedua-dua negara.


Untuk meningkatkan aliran lancar barangan dan bakat, dua pusat pemeriksaan sempadan darat juga telah menyaksikan penambahbaikan seperti lorong imigresen automatik dan sistem pelepasan secara kod QR.


Peningkatan ketara dalam kadar realisasi pelaburan negara, yang meningkat kepada 93 peratus pada 1QFY25 berbanding 89% pada 1QFY24, mengukuhkan kredibiliti negara melaksanakan projek diluluskan.


“Lebih mengagumkan, kadar realisasi FDI meningkat dua kali ganda kepada 26% dalam tempoh yang sama, menekankan keyakinan kukuh pelabur dan sokongan pelaksanaan lebih baik,” kata CIMB Securities.


Walaupun JS-SEZ menyasarkan untuk menarik 50 projek berimpak tinggi dalam tempoh lima tahun pertama dan 100 projek dalam tempoh 10 tahun, firma penyelidikan itu berkata, masih terdapat banyak cabaran. 


Antara isunya ialah pengekalan bakat dan jurang gaji negeri itu dengan Singapura di samping Johor mesti bersaing dalam faktor bukan cukai seperti SEZ di Indonesia, Vietnam dan Thailand. - DagangNews.com