Johari Ghani selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johari Ghani selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani diberi tanggungjawab menyelia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, berkuat kuasa serta-merta.

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diumumkan semasa mesyuarat Kabinet pada 9 Julai 2025.

 

"Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat Kabinet bahawa beliau bersetuju Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjalankan tugas dan fungsi menteri berkenaan berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan.

 

Sebelum itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya pada 28 Mei 2025, yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.

 

Beliau telah memegang jawatan tersebut sejak Disember 2023 namun memutuskan berundur kerana tidak dipilih semula untuk jawatan Naib Presiden PKR selepas tewas dalam pemilihan parti pada Mei 2025.

 

Sebelum itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa pada 27 Jun 2025.

 

Keputusan berkenaan kata Shamsul Azri, turut dipersetujui oleh Anwar dan kemudian dimaklumkan beliau sendiri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun 2025.

 

Ia susulan pengunduran penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli pada 25 Mei 2025 yang berkuat kuasa pada 17 Jun 2025 selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR. - DagangNews.com